SARIKEI: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM16juta Geran Tahunan Khas bagi semua institusi kanak-kanak yang berdaftar.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, peruntukan itu akan memberi manfaat kepada 3, 035 buah Tadika Taska yang berdaftar di seluruh Sarawak.
Sehingga 27 Ogos katanya, permohonan yang diterima adalah sebanyak 2,771 (91.3 peratus).
“Manakala agu 1,531 yang telah mendaftar lebih awal kini dalam proses pembayaran IPAKK dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM7,66,000.00.
“Ini merupakan tanggungjawab sosial kerajaan untuk meningkatkan mutu pendidikan dalam kalangan generasi muda bermula di peringkat pra sekolah,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan Sarawak terus komited dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.
Melalui Endowment Fund Sarawak (EFS) katanya, Ketua Menteri mengumumkan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada setiap anak kelahiran Sarawak, bermula 2019 tanpa mengira bangsa, agama atau sosio ekonomi.
Menurutnya, objektif EFS adalah membantu persediaan melanjutkan pelajaran dan memulakan karier atau modal kecil perniagaan.
“Insentif EFS ini diuruskan oleh Bank Islam dan pengeluaran hanya boleh dilakukan apabila kanak-kanak mencabar 18 tahun. Jika berlaku kematian, waris boleh mengeluarkan EFS untuk pengurusan jenazah,” katanya.