ARTIKEL

RM1,854 fi FWTA termasuk kos keseluruhan pemprosesan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Fi yang dikenakan di bawah kerangka sistem Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (FWTA) adalah lebih rendah dan sederhana berbanding caj oleh entiti serta bidang kuasa lain yang setara, kata Datuk Seri John Sikie Tayai.

Menteri di Jabatan Premier itu berkata, perlu ditegaskan bahawa fi ini bukan sekadar fi pemprosesan dokumen seperti Kelulusan Prinsip (AP), surat kelulusan, lesen buruh atau Visa Dengan Rujukan (VDR) sebaliknya meliputi keseluruhan kos pemprosesan.

Katanya, ia termasuk membangunkan dan menyelenggara infrastruktur serta infostruktur seluruh negeri bagi penyampaian perkhidmatan; memastikan aliran kerja digital yang telus, lancar dan bersepadu merentasi pelbagai agensi negeri dan Persekutuan.

“Selain itu ja juga penting untuk menyediakan data masa nyata berkaitan penawaran dan permintaan tenaga kerja kepada Kerajaan Sarawak bagi tujuan perancangan dasar strategik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan menteri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Tambahnya, fi sebanyak RM1,854 (RM2,002.32 termasuk SST) yang dikenakan berdasarkan prinsip “user-pay” telah melalui proses penelitian sewajarnya oleh agensi negeri berkaitan dan diluluskan oleh pihak berkuasa negeri.

Prinsip ini memastikan industri yang mendapat manfaat daripada tenaga kerja asing menanggung kos ekosistem dan pemantauan kawal selia, bukannya memindahkan beban kewangan kepada rakyat secara umum.

“Struktur pembayaran ini juga selaras dengan amalan di peringkat nasional dan antarabangsa. Sebagai contoh, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengenakan fi pemprosesan tidak dikembalikan sebanyak RM2,160 bagi setiap permohonan Pengembangan Digital Malaysia (Malaysia Digital Expansion).

“Di Emiriah Arab Bersatu pula, fi permohonan dan pemprosesan permit kerja serta visa dibayar sebagai sebahagian daripada proses pengeluaran dengan kos keseluruhan biasanya antara AED3,000 hingga AED8,000 (kira-kira RM3,200 hingga RM8,500) bagi setiap pekerja,” ujarnya.

Sementara, beliau memberitahu BILLPLZ Sdn. Bhd. salah satu daripada beberapa penyedia gerbang pembayaran bebas yang digunakan dalam projek FWTA, menyediakan perkhidmatan yang selamat dan diselenggara dengan baik serta dilengkapi sistem keselamatan siber yang kukuh bagi melindungi data rakyat Sarawak.

“Ia juga menghasilkan rekod audit yang jelas dan meningkatkan ketelusan berbanding sistem manual atau sistem “percuma” yang sering kurang aspek akauntabiliti.

“Manakala, semua pihak ketiga yang dilantik untuk membantu pelaksanaan projek FWTA termasuk FWTA Sdn. Bhd. dilantik mengikut prosedur perolehan yang ditetapkan dan tertakluk kepada audit serta pemantauan oleh pihak berkuasa kerajaan berkaitan,” jelasnya.

Dalam hal berkaitan, beliau berharap agar penjelasan berkenaan dapat memberikan kefahaman yang sewajarnya mengenai projek FWTA.

“Langkah-langkah ini mencerminkan komitmen teguh Kerajaan Sarawak terhadap ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.

“Melalui prosedur yang jelas, mekanisme pemantauan tersusun dan penelitian kawal selia berterusan Kerajaan Sarawak memastikan semua proses daripada penetapan fi, pelaksanaan sistem hingga pelantikan pihak ketiga dilaksanakan secara terbuka dan bertanggungjawab selaras dengan peraturan serta prosedur yang ditetapkan.

“Komitmen ini menzahirkan kesungguhan kerajaan dalam memelihara kepercayaan rakyat sambil memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang cekap dan berintegriti dan bukannya seperti yang digambarkan secara tidak tepat,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU