KUCHING: Kerajaan Sarawak telah melaksanakan pelbagai program keusahawanan yang berjaya membantu lebih 177,000 usahawan di negeri ini, dengan jumlah bantuan keseluruhan mencecah RM2.6 bilion.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata usaha ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi seperti SME Corporation Malaysia (SME Corp), SME Bank, Majlis Amanah Rakyat (MARA), TEKUN, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), TEGAS, SDEC, dan STIDC.
Menurut beliau, sejak tahun 2021 hingga 2025, MINTRED telah membantu lebih 45,500 usahawan dengan nilai bantuan sebanyak RM199.49 juta melalui pelbagai skim dan program keusahawanan.
“Antara program tersebut ialah Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS), Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS), Graduan Ke Arah Keusahawanan (GERAK), Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV), Go Digital, dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyaksikan majlis penyerahan dana tambahan sebanyak RM5 juta kepada Agrobank bagi pelaksanaan Skim Kredit Mikro Sarawak untuk tahun 2025.

Untuk menyelaras dan menggubal dasar pembangunan keusahawanan di Sarawak, Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Usahawan (SEDCC) telah ditubuhkan, melibatkan lebih 80 anggota dari 45 agensi Kerajaan Persekutuan dan 38 agensi Kerajaan Negeri.
MINTRED bertindak sebagai sekretariat kepada Jawatankuasa Induk SEDCC yang memainkan peranan penting dalam perancangan dan pelaksanaan program keusahawanan di negeri ini.
Selain bantuan kewangan, pelbagai program pembangunan keusahawanan asas, teknikal, dan digital turut dilaksanakan, termasuk promosi produk serta akses pasaran melalui ekspo dan pameran di peringkat nasional dan antarabangsa.
Awang Tengah turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri atas kerjasama erat dalam melaksanakan program keusahawanan secara menyeluruh di Sarawak.
Majlis penyerahan dana disempurnakan oleh Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkornain Masron, kepada Pengarah Wilayah Agrobank Sarawak, Abdul Halex Abdullah.


