SARIKEI : Kebajikan Tokong San Nguong Sia terletak di Jalan Jakar di sini, terus mendapat perhatian kerajaan apabila menerima peruntukan projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM70,000 daripada ADUN Repok Datuk Seri Huang Tiong Sii.
Ia merupakan peruntukan terbesar yang disalurkan oleh kerajaan kepada rumah ibadat tersebut sejak empat tahun lalu.

Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Tiong Sii yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim merangkap Ahli Parlimen Sarikei ketika menghadiri Hari Perayaan Tokong San Nguong, di sini, semalam.
Pada tahun 2019, tokong itu menerima peruntukan RTP sebanyak RM35,000, manakala tahun 2021 dan 2022 pula masing-masing RM50,000 dan RM70,000 disalurkan menerusi RTP tahun ini bagi tujuan naik taraf rumah ibadat berkenaan.
Sehubungan itu katanya, sumbangan itu membuktikan kerajaan sentiasa mengambil berat keperluan rumah ibadat di Sarikei.
“Diharap kerja baik pulih yang dilakukan untuk tokong ini dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat untuk menunaikan ibadah dalam suasana yang lebih selamat dan selesa.
“Peruntukan yang disalurkan ini juga menunjukkan kerajaan sentiasa mengambil berat keperluan mereka,” katanya.
Pada majlis yang sama, beliau turut menyumbang sejumlah RM5,000 untuk kegunaan aktiviti tahunan, di samping menyempurnakan acara pemotongan kek Hari Jadi Dewa ‘San Yuan Ye’ bersama-sama penganut Tokong San Nguong Sia.


