ARTIKEL

MODENKAN PERTANIAN… ADUN Opar, Billy Sujang berucap pada Majlis Penyerahan Tapak Projek Sawah Padi Kampung Rukam dan Kampung Sedaing pada Khamis. Foto UKAS

RM23 juta naik taraf infrastruktur sawah padi di Lundu dan Bau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LUNDU: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM23 juta bagi melaksanakan tujuh projek pembangunan dan menaik taraf infrastruktur sawah padi di kawasan Lundu dan Bau sebagai usaha memperkukuh sekuriti makanan serta meningkatkan pengeluaran beras tempatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata daripada jumlah itu, projek bernilai RM8 juta melibatkan kerja menaik taraf sistem saliran, pengairan dan infrastruktur pertanian di Kampung Rukam dan Kampung Sedaing yang dilaksanakan menerusi Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).

“Projek di Kampung Rukam membabitkan peruntukan RM3.5 juta, manakala Kampung Sedaing menerima RM4.5 juta bagi meningkatkan produktiviti kawasan sawah padi sedia ada.

“Selain itu, GKCDA turut melaksanakan projek pembangunan sawah padi di Kampung Tebaro dengan kos RM3 juta serta Kampung Jugan, Bau membabitkan peruntukan RM4.5 juta yang kini sedang giat dilaksanakan.

“Tiga lagi projek pembangunan sawah padi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar iaitu di Kampung Biawak bernilai RM3 juta, Kampung Sebako sebanyak RM3 juta dan Kampung Jangkar berjumlah RM5 juta kini berada pada peringkat akhir penyediaan reka bentuk sebelum kerja pembinaan dimulakan,” katanya.

PERKASA PERTANIAN… ADUN Opar, Billy Sujang (tengah) menyaksikan penyerahan tapak projek sawah padi Kampung Rukam dan Kampung Sedaing di Lundu pada Kamis. Foto UKAS

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Tapak Projek Sawah Padi Kampung Rukam dan Kampung Sedaing di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa pembangunan sektor padi merupakan antara keutamaan Kerajaan Sarawak dalam memastikan bekalan makanan negeri sentiasa mencukupi sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap import beras.

“Setiap hektar sawah yang produktif menyumbang kepada jaminan bekalan makanan rakyat.

“Apabila pengeluaran padi meningkat, bekalan beras menjadi lebih stabil, harga makanan dapat dikawal dengan lebih baik, pendapatan petani meningkat dan ekonomi luar bandar turut diperkasakan,” katanya.

Mengulas lanjut tentang projek itu, Billy menjelaskan bahawa projek berkenaan melibatkan kerja menaik taraf sistem saliran, pengairan serta kemudahan pertanian yang lebih cekap bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi.

Katanya, pelaburan itu juga merupakan langkah strategik untuk memperkukuh kedaulatan makanan Sarawak dalam menghadapi cabaran perubahan iklim, ketidaktentuan pasaran global dan gangguan rantaian bekalan makanan.

Usaha tersebut katanya selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) yang menjadikan sektor pertanian sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi luar bandar.

Justeru, beliau menyeru petani, pemimpin masyarakat, golongan belia dan semua agensi berkaitan agar terus berganding bahu menjayakan pembangunan sektor padi moden di Lundu dan Opar.

“Saya yakin dengan sistem pengairan dan saliran yang lebih cekap, penggunaan teknologi moden serta komitmen tinggi petani, Kampung Rukam dan Kampung Sedaing termasuk kampung-kampung terlibat mampu muncul sebagai antara kawasan pengeluaran padi yang produktif di Bahagian Kuching,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU