ARTIKEL

Rolland ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 pada Persidangan DUN Sarawak di Kuching, hari ini.

RM282 Juta Untuk Projek Jalan Raya dan Bekalan Air di Meluan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Lebih 10,000 penduduk di Meluan dijangka mendapat manfaat daripada dua projek infrastruktur bernilai keseluruhan RM282 juta membabitkan pembinaan jalan raya serta peningkatan bekalan air.

ADUN Meluan, Datuk Rolland Duat Jubin berkata, peruntukan itu melibatkan RM92 juta bagi pembinaan Jalan Nanga Lasi-Suchong Balut dan RM190 juta untuk projek bekalan air.

Menurutnya, kedua-dua projek berkenaan bakal membuka akses ekonomi, meningkatkan mobiliti penduduk dan memperbaiki kualiti hidup masyarakat luar bandar.

“RM282 juta itu bukan sekadar angka di atas kertas. Ia pelaburan kehidupan rakyat, jalan menuju peluang ekonomi, air untuk keluarga dan asas kepada pembangunan yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Tambahnya, pembangunan jalan raya perlu diteruskan secara menyeluruh supaya setiap rumah panjang dan komuniti mempunyai akses lebih selamat serta efisien.

Dalam aspek bekalan elektrik, beliau berkata hampir 90 peratus kawasan pedalaman Meluan kini menikmati bekalan melalui sambungan grid.

“Bagaimanapun, beberapa rumah panjang masih menunggu penyambungan termasuk Rumah Engkiau dan Rumah Steven Jenggut di Serau, Rumah Lumbok di Merurun, Rumah Teresa di Batu 15 Jalan KJD, Rumah Buking di Tanjung Nibung, Rumah Philip Libo di Batu 18 Jalan Entabai-Engkamop serta Rumah Martin di Nanga Entaih.

“Saya berharap baki kawasan yang masih belum menikmati bekalan elektrik diberi perhatian sehingga setiap keluarga di Meluan mempunyai akses kepada tenaga elektrik yang stabil,” ujarnya.

Sementara itu dalam bidang pendidikan, beliau menegaskan kemudahan sekolah luar bandar perlu terus dinaik taraf termasuk infrastruktur asas, akses digital, kemudahan pembelajaran, asrama dan persekitaran sekolah yang kondusif.

Beliau turut menyambut baik pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 4 yang merangkumi Pejabat Kesihatan Daerah serta kuarters kakitangan dan berharap projek itu disiapkan mengikut jadual serta beroperasi dengan kapasiti mencukupi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU