ARTIKEL

Datuk Ding Kuong Hiing meneliti taklimat sebelum menyaksikan penyerahan Kelulusan Tapak Projek RTP bagi kawasan DUN Meradong.

RM450,000 untuk enam projek prasarana sekolah di Meradong

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTANGOR: Keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap keperluan memperkasa prasarana pendidikan terus dizahirkan menerusi peruntukan RM450,000 bagi melaksanakan enam projek baharu di sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata pelaksanaan projek menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) itu membabitkan pelbagai kerja penambahbaikan bagi menyediakan persekitaran sekolah yang lebih selamat, selesa dan sesuai untuk proses pengajaran serta pembelajaran.

Beliau berkata SJK Su Ming menerima peruntukan terbesar berjumlah RM200,000 bagi pembinaan bangunan baharu untuk menempatkan kelas prasekolah, manakala SJK Tanah Putih diperuntukkan RM50,000 untuk menyediakan kemudahan tempat letak kenderaan.

“SK Rentap pula menerima RM50,000 bagi kerja menaik taraf dewan serba guna dan bilik teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi meningkatkan fungsi kemudahan sedia ada di sekolah berkenaan,” katanya selepas menyaksikan Penyerahan Kelulusan Tapak Projek RTP DUN Meradong, hari ini.

Kuong Hiing berkata SJK Yong Kwong turut mendapat RM50,000 untuk kerja penambahbaikan pagar sekolah, khususnya bagi memperkukuh aspek keselamatan murid serta warga sekolah.

Menurutnya, SJK Yong Cheng menerima peruntukan yang sama, iaitu RM50,000 untuk melaksanakan kerja pendawaian elektrik baharu bagi memastikan sistem bekalan elektrik sekolah berada pada tahap lebih baik dan selamat.

“SJK Tong Hua juga diperuntukkan RM50,000 untuk menaik taraf pagar sekolah sebagai sebahagian daripada usaha memperbaiki tahap keselamatan serta keselesaan persekitaran sekolah,” katanya.

Beliau berkata kesemua projek itu dijangka memberikan kesan positif kepada warga sekolah, termasuk murid, guru dan kakitangan, menerusi penyediaan kemudahan yang lebih teratur, selamat dan kondusif.

“Kita akan terus memberikan perhatian terhadap keperluan menaik taraf infrastruktur pendidikan di Meradong bagi memastikan kemudahan sekolah dapat dipertingkat secara berperingkat,” katanya.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU

Pemimpin utama parti lipas dipenjara

NEW DELHI: Dua pemimpin parti pimpinan golongan muda India, Cockroach Janta Party (CJP), telah dikenakan perintah reman selama lima hari pada Rabu, ketika polis memperhebat