ARTIKEL

RM5 bilion JENDELA perluas liputan Internet luar bandar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyambut baik Belanjawan 2027, yang antara lain memperuntukkan RM5 bilion kepada Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk memperluas liputan Internet berkualiti tinggi di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Menurut MCMC dalam satu kenyataan hari ini, belanjawan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memperluas infrastruktur digital, meningkatkan kesalinghubungan dan mempercepat transformasi digital negara.

Peruntukan JENDELA turut meliputi perkampungan Orang Asli. Peruntukan itu juga akan meningkatkan kesalinghubungan merentasi 7,000 kilometer jalan raya dan lebuh raya serta 1,700 kilometer laluan rel di seluruh negara.

Selain itu, RM1 bilion diperuntukkan bagi memperkasa ekosistem kesihatan digital negara menerusi Inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA).

Inisiatif itu akan menyokong peluasan Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR), telekesihatan dan penggunaan dron bagi penghantaran ubat. Langkah ini bertujuan menambah baik akses kepada perkhidmatan kesihatan di luar bandar dan pedalaman.

Sebanyak RM142 juta pula diperuntukkan untuk memperkasa Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai hab komuniti digital. NADI akan menyediakan latihan kemahiran digital dan kecerdasan buatan (AI), selain menyokong pembangunan ekonomi dan keusahawanan setempat.

Belanjawan itu turut menyentuh pembangunan Sistem Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM). Sistem ini akan meningkatkan kapasiti dan daya tahan rangkaian antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Inisiatif lain termasuk penyediaan Wi-Fi di semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam bagi menyokong pembelajaran digital dan pembangunan bakat masa hadapan.

Pembangunan Sovereign AI Cloud serta usaha meningkatkan keselamatan siber negara pula akan memperkukuh kedaulatan data dan menyokong pembangunan AI yang selamat.

MCMC juga akan terus memperhebat Kempen Internet Selamat di sekolah seluruh negara sambil membanteras penipuan digital. Usaha ini termasuk menyekat lebih 5.7 bilion panggilan dan SMS berunsur penipuan.

“Sebagai pengawal selia sektor komunikasi dan multimedia, MCMC komited memastikan setiap inisiatif yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat, industri dan negara,” menurut kenyataan itu.

“MCMC yakin pelaburan strategik ini akan terus memacu pembangunan ekonomi digital serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara digital yang berdaya saing,” tambah kenyataan itu lagi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU