RM81,000 untuk 27 tadika di DUN Daro

DARO: Bidang pendidikan terus menjadi fokus utama Kerajaan Sarawak sejajar dengan hasrat untuk melahirkan generasi muda yang berkualiti selain memastikan mereka menikmati kehidupan lebih sempurna.

Sebanyak RM81 ribu peruntukan geran projek kecil luar bandar (MRP) disalurkan kepada 27 buah Tadika di kawasan N.43 Daro.

Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan oleh ADUN N.43 Daro, Safiee Ahmad di Pusat Khidmat N.43 Daro, semalam.

Sehubungan itu, Safiee berharap peruntukan yang disalurkan itu dapat membantu semua tadika berkenaan melaksanakan aktiviti khususnya majlis penyampaian sijil dan hadiah pada penghujung tahun ini.

“Inisiatif ini merupakan salah satu komitmen Kerajaan Sarawak untuk memastikan institusi pendidikan pra sekolah di Sarawak terus mendapat pembelaan sekaligus membela nasib golongan muda melalui pendidikan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pendidikan pra sekolah amat penting bagi menyuburkan potensi kanak-kanak dalam semua aspek termasuk menguasai kemahiran asas sebelum melangkah masuk ke sekolah rendah.

Safiee menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.

Menurutnya, institusi pendidikan awal itu mampu membentuk sikap positif dan menyemai budaya ilmu dalam kalangan kanak-kanak.

Katanya, pra sekolah berperanan besar mendidik anak-anak membaca dan mengira sehingga kanak-kanak itu memasuki alam persekolahan yang sebenar.

“Tadika bukan sahaja menjadikan alam persekolahan lebih menyeronokkan tetapi juga berperanan penting sebagai salah satu teras utama bagi melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi.

“Pendidikan peringkat awal ini juga berperanan sebagai acuan untuk memastikan anak-anak membesar pada landasan yang betul,” katanya.

Safiee menegaskan, pendidikan merupakan aspek terpenting dalam kehidupan manusia selain menjadi salah satu agenda penting dalam pembangunan negara.

Katanya, pendidikan sempurna dapat melahirkan generasi baharu yang mampu mengubah nasib keluarga dan seterusnya, keluar daripada belenggu kemunduran dan kemiskinan.

“Kesungguhan dan keupayaan anak-anak kita menguasai ilmu pengetahuan berupaya mengangkat martabat diri dan bangsa,” tambahnya.