KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd telah memberikan kontrak bernilai RM9.74 juta untuk membekalkan stesen pengisian bahan api hidrogen mudah alih kepada dua buah syarikat usaha sama hari ini (15 Ogos).
Surat penerimaan kontrak itu ditandatangani di Pejabat Korporat Sarawak Metro.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Ts. Mazli Mustaffa berkata, kontrak tersebut dianugerahkan kepada syarikat CRRC MRT Holdings Group Co Ltd dan Urban Empire Builders Sdn Bhd.
“Kontrak itu melibatkan reka bentuk, pembekalan, penghantaran, pemasangan, ujian dan pentauliahan stesen pengisian bahan api hidrogen mudah alih untuk projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
“Pihak kita amat menekankan kepentingan penyediaan stesen pengisian bahan api hidrogen mudah alih semasa memulakan operasi KUTS pada suku keempat tahun depan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, selain loji pengeluaran hidrogen dan stesen minyak di Rembus, Kota Samarahan, pihaknya berharap kontraktor menyediakan stesen pengisian bahan api hidrogen mudah alih untuk meningkatkan fleksibiliti pengisian semasa operasi kenderaan Transit Aliran Autonomi (ART) dan bas pengantara.
Jelasnya, sebanyak tujuh penyerahan diterima Sarawak Metro pada penutupan tender pakej kontrak pada 1 November tahun lalu.
Turut hadir dalam majlis menandatangani kontrak tersebut ialah Pengurus Besar CRRC MRT Holdings, Zhao Junkui dan Pengarah Urban Empire Builders, Ts. Mike Chin Yuan Tai.

