EIZA NASHWA

PANORAMA indah terbentang luas di hadapannya. Alam hijau bagai dicoret cat alam semula jadi.
Alangkah bertuahnya lahir di desa ini.
Kicauan burung menyapa gegendang telinga.
Kanak-kanak girang bermain di perdu pokok.
Daniya berjalan seorang diri di lorong berkerikil tajam.
Sesekali dia berhenti mengelak meredah lopak air di tengah jalan.
“Cikgu, mari singgah ke rumah saya,”sapa seseorang dari kejauhan.
“Lain kali saya singgah ya,” balasnya lembut.
Sikapnya yang ramah dan mudah tersenyum itu membuatkan dirinya disenangi oleh orang kampung.
Kini genap enam bulan dia mengajar di desa itu.
Daniya memerhati keadaan sekeliling. Sepanjang jalan kelihatan rumah-rumah penduduk yang dikelilingi kebun sayur dan pohon-pohon pisang.
Daniya mempercepatkan langkahnya.
Loceng berbunyi nyaring. Semua murid berpusu-pusu menuju ke kantin.
Harapannya secerah mentari. Tugas hakikinya perlu dilunaskan dengan sebaik mungkin.
Namun, Daniya sedar mengajar di pedalaman menuntut kesabaran yang tinggi. Kebanyakan anak desa datang dari keluarga yang daif.
“Cikgu buat apa tu?” suara garau seorang lelaki mematikan lamunannya.
“Oh cikgu, saya tak buat apa-apa, sekadar melepaskan lelah sebelum masuk ke kelas.
Daniya bangun dan menghampiri guru besar.
“Saya nak jumpa cikgu lepas habis kelas.”
“Baiklah cikgu.” Cikgu Arif berlalu menuju ke biliknya.
Riak wajahnya kelihatan tegang. Tamat sesi persekolahan, Daniya mengotakan janjinya.
Cikgu Arif mempelawanya secangkir kopi. Sepucuk surat bersampul biru dihulurkan kepadanya. Hatinya mula berteka-teki.
“Surat apa ni?” Daniya memandang tepat ke wajah Cikgu Arif yang sebaya ayahnya.
“Cikgu bacalah.”
“Izinkan saya baca ya,cikgu.” Daiya menghela nafas panjang. Dia berjanji untuk menyelesaikan hal itu. Cikgu Arif hanya mengangguk tanda setuju.
Hatinya kian dibalut resah. Malam itu, Daniya berteleku di atas sejadah memohon petunjuk.
Kokokan ayam jantan mengejutkan lenanya. Daniya bergegas ke bilik air untuk mengambil wuduk. Bahang mentari mengigit belakangnya.
Daniya mengorak langkah menuju ke rumah Lutfi. Sudah tujuh hari dia tidak hadir ke sekolah.
Anak muridnya yang berusia lapan tahun itu tidak pernah bersikap demikian.
Tiba-tiba dalam perjalanan, dia ditahan oleh seorang lelaki. Daniya terpaksa menghentikan langkahnya
. Dia mengamati raut wajah lelaki itu. “Kenapa halang laluan saya?” ucap Daniya dengan nada tinggi.
“Aku tak suka kau rapat dengan Lutfi.” Lelaki berwajah bengis itu menjawab separuh menengking. Lelaki berbadan tegap itu menolak Daniya.
Berlaku pergelutan antara mereka berdua. Daniya menjerit sekuat hati.
Tetapi, segalanya sudah terlambat. Percikan darah mengalir deras sehingga membasahi baju kurungnya.
Matanya berpinar lalu rebah. Episod tragis itu menjadi buah mulut orang kampung.
Daniya dirawat di hospital kerana mengalami pendarahan akibat tikaman senjata tajam.
Hasil siasatan polis mendapati bapa tiri Lutfi menjadi dalang surat layang dan perbuatan khianat terhadap Cikgu Daniya.
Lutfi telah dikurung dan didera oleh bapa tirinya. “Selamat Hari Guru, cikgu.”
Lutfi mendekati sambil menghulurkan sekuntum ros merah kepada guru kelasnya.
Daniya tersenyum manis menyambut pemberian anak muridnya. Dia duduk bersandar pada kepala katil.
Pengorbanannya berbaloi kerana dapat menyelamatkan Lutfi daripada menjadi mangsa penderaan. Ruang bilik itu sepi seketika. Entah mengapa hatinya disapa sendu.



