BANDAR SERI BEGAWAN: Royal Brunei Airlines meraih pengiktirafan Syarikat Penerbangan Utama Empat Bintang APEX 2026 dan Anugerah Keselesaan Kerusi Terbaik APEX 2026 bagi Asia Timur, lapor Xinhua.
Dalam kenyataan pada Khamis, syarikat penerbangan itu berkata pencapaian Royal Brunei Airlines (RBA) mencerminkan komitmennya untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang selesa dan berkualiti kepada setiap penumpang, hasil pelaburan berterusan dalam reka bentuk kabin, penambahbaikan produk serta konsistensi perkhidmatan di seluruh rangkaiannya.
Anugerah berkenaan turut menjadi penghargaan kepada dedikasi kru kabin, pasukan kejuruteraan dan pakar pembangunan produk RBA yang bekerja secara kolektif untuk meningkatkan pengalaman penumpang.
Ketua Pegawai Eksekutif sementara Royal Brunei Airlines, Kolonel Norsuriati Haji Sharbini, berkata syarikat penerbangan itu amat berbesar hati menerima pengiktirafan tersebut yang mencerminkan kepercayaan dan keyakinan berterusan para penumpang terhadap Royal Brunei Airlines.
Ditubuhkan pada 1974, Royal Brunei Airlines merupakan syarikat penerbangan nasional Brunei. — Bernama



