ARTIKEL

TAHNIAH… Royston Valentine menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan yang diadakan sepanjang Fiesta Rakan Muda Peringkat Negeri Sarawak di UiTM Kampus Mukah, hari ini.

Royston cadang jawatan Penggerak Rakan Muda diwujudkan semula

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine mencadangkan agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menghidupkan semula jawatan Penggerak Rakan Muda di setiap kawasan Parlimen di seluruh negara bagi memperkukuh pembangunan belia secara lebih menyeluruh.

Beliau berkata, langkah itu mampu memperkasakan Program Rakan Muda kerana individu yang dilantik sebagai Penggerak Rakan Muda lebih memahami keperluan, potensi dan cabaran golongan belia di kawasan masing-masing.

TERIMA KASIH… Royston menerima cenderamata daripada pihak penganjur sebagai tanda penghargaan pada majlis berkenaan.

“Sekiranya jawatan Penggerak Rakan Muda diwujudkan semula, saya percaya ia akan menjadi satu langkah yang amat baik kerana mereka yang berkhidmat di kawasan sendiri lebih memahami selok-belok setempat.

“Keadaan ini membolehkan program yang dirancang benar-benar menepati kehendak serta aspirasi belia di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Fiesta Rakan Muda Peringkat Negeri Sarawak di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Mukah, hari ini.

Royston turut menyeru masyarakat, khususnya golongan belia, supaya terus menyokong pelbagai program yang dianjurkan oleh KBS dan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Sarawak kerana inisiatif tersebut berperanan penting dalam melahirkan generasi muda yang berdaya saing serta berkemahiran.

Menurutnya, Program Rakan Muda kini turut berevolusi mengikut perkembangan semasa dengan menggabungkan pendekatan fizikal dan digital bagi memastikan pelaksanaannya kekal relevan.

“Perubahan ini selaras dengan perkembangan teknologi yang menyaksikan hampir semua urusan, termasuk pembelajaran, perniagaan dan aktiviti harian, kini memanfaatkan platform digital.

“Justeru, belia perlu terus dibimbing agar mampu menyesuaikan diri dengan perubahan ini secara positif dan peranan Jabatan Belia dan Sukan amat penting dalam menyediakan platform yang bersesuaian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Fiesta Rakan Muda Peringkat Negeri Sarawak sehingga berlangsung dengan lancar dan mencapai objektif penganjurannya.

RAKAM KENANGAN… Royston bergambar bersama tetamu dan peserta selepas Majlis Penutupan Fiesta Rakan Muda Peringkat Negeri Sarawak di UiTM Kampus Mukah, hari ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU