MUKAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine, turun padang meninjau kerja-kerja naik taraf pagar Tanah Perkuburan Kristian Katolik Mukah di Jalan Mukah/ Oya, semalam.
Beliau berkata, projek berkenaan merupakan salah satu usaha untuk menambah baik kemudahan awam di kawasan tersebut.


Menurutnya, projek tersebut adalah di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian 2025.
“Projek yang bernilai RM200,000 ini dilaksanakan oleh agensi Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) serta pihak kontraktor, ZR Construction.
“Projek ini tentunya memberi manfaat dari pelbagai sudut terutamanya keselamatan dan perlindungan tanah perkuburan,” katanya selepas mengadakan tinjauan kerja-kerja naik taraf pagar tersebut, semalam.
Katanya, pagar yang dinaik taraf tersebut lebih kukuh sekali gus menghalang kemasukan haiwan liar atau ternakan yang boleh merosakkan kawasan perkuburan.
Jelasnya, pagar tersebut kelak juga dapat mencegah vandalisme yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Pagar ini akan menentukan sempadan rasmi kawasan perkuburan bagi mengelakkan pertindihan atau pencerobohan.
“Pada masa yang sama, ia juga memudahkan pengurusan pentadbiran oleh jawatankuasa gereja atau komuniti setempat,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Royston memberitahu, pembinaan pagar tersebut adalah untuk penjagaan dan pemeliharaan yang lebih efisien.
Ia akan membantu dalam pemeliharaan kawasan agar lebih tersusun, bersih dan terpelihara sepanjang masa.
Tambah Royston, projek RTP yang dilaksanakan akan sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam.


