BINTULU: Penduduk Kampung Kuala Segan kini menikmati kemudahan yang lebih selesa dan selamat selepas projek naik taraf Rumah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berjaya disiapkan menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Jepak bagi tahun 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata projek berkos hampir RM200,000 itu melibatkan pembinaan semula bangunan yang sebelum ini merupakan struktur kayu yang uzur kepada sebuah bangunan konkrit yang lebih kukuh dan moden.
Menurutnya, bangunan baharu itu turut ditinggikan kira-kira tiga kaki bagi mengurangkan risiko kerosakan akibat banjir memandangkan kawasan berkenaan sering terdedah kepada kejadian tersebut.
“Rumah JKKK yang sebelum ini dalam keadaan kurang memuaskan telah dinaik taraf kepada bangunan konkrit yang lebih selesa dan selamat untuk kegunaan penduduk.

“Selain menjadi pusat pentadbiran kampung, kemudahan ini boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan program pembangunan penduduk,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan projek tersebut kepada pihak JKKK Kampung Kuala Segan, Isnin petang.
Beliau berkata kemudahan itu juga dapat berfungsi sebagai pusat perlindungan sementara sekiranya berlaku bencana seperti banjir atau kebakaran.
“Apabila berlaku kecemasan, bangunan ini boleh dijadikan tempat perlindungan sementara bagi mangsa yang terjejas. Oleh itu, kita mahu ia bukan sekadar rumah JKKK, tetapi sebuah kemudahan serbaguna yang memberi manfaat kepada seluruh komuniti,” katanya.

Iskandar berkata projek berkenaan disiapkan dalam tempoh lima bulan seperti yang ditetapkan sebelum diserahkan secara rasmi kepada pihak JKKK untuk digunakan sepenuhnya oleh penduduk kampung.
Menurutnya, pelaksanaan projek tersebut membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak dalam menyediakan kemudahan asas yang lebih baik kepada masyarakat luar bandar melalui peruntukan RTP.
“Dengan adanya kemudahan yang lebih selesa ini, penduduk dapat berkumpul, bermesyuarat dan menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dalam suasana yang lebih kondusif.
“Kita berharap rumah JKKK ini akan menjadi pusat aktiviti komuniti yang mampu mengeratkan hubungan serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan penduduk Kampung Kuala Segan,” katanya.


