KUCHING: Wartawan dan penulis berpengalaman luas Sarawak, Rudi Affendi Khalik mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Lestari Warta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Rudi yang terlibat dalam bidang kewartawanan dan penulisan selama 29 tahun di pelbagai media, menjadi penerima sulung bagi anugerah yang julung kali diperkenalkan.
Mewakil Astro Awani Sarawak dan juga merupakan salah seorang kolumnis Suara Sarawak sejak 2020, Rudi mendapat penghargaan tersebut pada Majlis Lestari Bahasa 2025 dan disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengelola DBP merangkap ahli Dewan Undangan Negeri Daro (ADUN) Daro, Shafiee Ahmad, semalam.
Anugerah tersebut diberikan kepada individu yang cakna dan banyak memberi sumbangan dan idea kepada DBP Cawangan Sarawak, termasuk pandangan dan sering menyokong dalam memartabatkan bahasa serta sastera.
Dalam penerbitan DBP, Rudi turut terlibat secara langsung dalam penyelidikan dan penulisan jurnal, antaranya melalui wawancara yang dijalankan sendiri dalam artikel Puteri Menari Ditimang Bubu Terbang Melayang.
Rudi juga aktif menulis artikel yang menyoroti budaya dan warisan masyarakat tempatan.
Sementara itu, dua penulis veteran Sarawak, Jais Sahok dan Zasran Abdullah turut dianugerahkan Tokoh Lestari Bahasa.


