IGAN: Rumah Api Kuala Igan berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai produk ekopelancongan baharu yang mampu merancakkan ekonomi komuniti setempat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, rumah api itu memiliki keunikan tersendiri yang mampu menarik kehadiran ramai pengunjung.

“Ia juga mempunyai keunikan tersendiri dari segi kedudukan geografi, landskap semula jadi serta keindahan persekitaran pesisir yang masih terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat tapak pembinaan Rumah Api Kuala Igan di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Juanda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng menggesa Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di sekitar kawasan tersebut agar memberikan kerjasama sepanjang tempoh pembinaannya.
Jelasnya, kerjasama erat amat penting bagi memastikan pelaksanaan projek itu berjalan lancar.
Dalam pada itu, beliau berharap agar projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan demi manfaat semua pihak.
Terdahulu, projek tersebut merupakan perpindahan Rumah Api Tanjung Sirik ke Kuala Igan berikutan masalah hakisan tanah yang serius. Tapak asal rumah api tersebut telah terhakis sedalam tiga hingga lima kaki sehingga mendedahkan struktur cerucuk.
Di samping itu, kesemua struktur bangunan di bawah rumah api berkenaan telah runtuh akibat hakisan tanah daripada kenaikan paras air laut yang berada pada tahap membimbangkan.
Projek tersebut bermula pada Julai 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2026 yang melibatkan tempoh pembinaan selama setahun.



