BINTULU: Projek pembinaan rumah kelab baharu Kelab Golf Bintulu yang kini memasuki peringkat tender dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan golf di Bintulu, selain menyediakan kemudahan yang lebih moden dan kondusif kepada pemain serta pengunjung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, projek berkenaan merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh pembangunan infrastruktur sukan di bahagian itu serta meningkatkan daya tarikan Kelab Golf Bintulu.

Beliau berkata, apabila siap kelak, rumah kelab baharu itu bukan sahaja menawarkan kemudahan yang lebih selesa kepada ahli kelab, pemain golf dan pelawat, malah dijangka menarik lebih ramai penyertaan dalam sukan golf, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Ini merupakan satu perkembangan yang amat menggalakkan bagi Kelab Golf Bintulu dan pembangunan sukan golf di Bintulu.
“Saya percaya kemudahan yang lebih moden akan memberi pengalaman yang lebih baik kepada ahli dan pengunjung, selain menggalakkan lebih ramai anak muda menceburi sukan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah Kejohanan Golf Piala IGAT 2026 dan sambutan Ngiling Bidai di Kelab Golf Bintulu, Sabtu malam.
Beliau yang juga Presiden Kelab Golf Bintulu yakin pembangunan rumah kelab baharu itu mampu memperkukuh kedudukan Bintulu sebagai destinasi penganjuran kejohanan golf di peringkat negeri dan kebangsaan, sekali gus merancakkan pembangunan sukan serta aktiviti pelancongan sukan di kawasan itu.
Menurutnya, kerajaan akan terus menyokong inisiatif yang mampu meningkatkan kemudahan sukan berkualiti demi manfaat masyarakat dan pembangunan bakat baharu.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur Kejohanan Golf Piala IGAT 2026, para sukarelawan dan semua pihak yang telah menjayakan kejohanan berkenaan, sambil berharap kejohanan itu terus berkembang sebagai antara acara golf tahunan berprestij di Bintulu.

