KUCHING: Enam sekeluarga sempat menyelamatkan diri apabila rumah mereka terbakar pada awal pagi, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima laporan tentang kejadian yang berlaku di Kampung Sungai Berlian itu kira-kira jam 5.58 pagi, dan segera menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya ke lokasi.
“Setiba di lokasi, didapati rumah yang didiami enam sekeluarga, yang terdiri daripada dua lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan, terbakar 20 peratus.
“Kebakaran berlaku di sebuah bilik di tingkat dua rumah terbabit,” menurutnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, api sudah berjaya dipadamkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
Jurucakap itu berkata pasukan bomba hanya membuat pemantauan bagi memastikan tiada lagi punca api dan kebakaran benar-benar padam sepenuhnya.

