KUCHING: Kerjasama erat antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan terus membuahkan hasil positif apabila beberapa isu penting dilaporkan berjaya diselesaikan menerusi rundingan dalam satu pertemuan ringkas melibatkan kedua-dua pihak, hari ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendedahkan bahawa perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlangsung sebelum Majlis Berbuka Puasa Madani itu menunjukkan petanda yang sangat baik bagi masa depan negeri ini.
“Tadi kita ada mengadakan sedikit mesyuarat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Kita ada ‘godeng-godeng’ (runding) sikit, Alhamdulillah dengan perpaduan dan semangat setia kawan yang tinggi, nampaknya masalah selesai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani 2026 yang diadakan di pekarangan Masjid Jamek di sini, semalam.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas kesediaan Perdana Menteri untuk meluluskan beberapa perkara penting yang akan memberikan manfaat besar kepada rakyat Sarawak secara keseluruhannya.
Dalam ucapan sama, Abang Johari menekankan bahawa kestabilan politik dan ekonomi di bawah kepimpinan Malaysia Madani membolehkan negara memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa, terutama dalam mendepani konflik di negara-negara Islam yang memberi kesan kepada ekonomi global.
“Kualiti kepimpinan Perdana Menteri yang dihormati di luar negara adalah cerminan kepada keharmonian dalam negara yang kukuh.
“Kalau negara kita kucar-kacir, mungkin perhatian hanya akan tertumpu kepada masalah dalaman. Tetapi hari ini, ekonomi kita baik, pelaburan masuk, malah banyak duta asing datang ke Sarawak untuk mencari peluang pelaburan,” tambah beliau.
Menyentuh mengenai kebajikan rakyat, Abang Johari memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak terus komited menyokong usaha Persekutuan dalam meringankan beban kos sara hidup.
Beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM650 juta melalui program Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) bagi membantu kumpulan sasar B40 di Sarawak.
Abang Johari turut menzahirkan kekaguman terhadap komitmen tinggi Perdana Menteri yang hadir ke Kuching sejurus selesai mesyuarat kabinet di Putrajaya pada sebelah pagi, semata-mata demi memenuhi agenda bersama rakyat Sarawak.

6 NEGERI TERIMA RM21.26 BILION
KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM21.26 bilion kepada enam negeri yang ketinggalan dari segi pembangunan di bawah Belanjawan 2027 dengan agihan mengambil kira


