ARTIKEL

Wong Soon Koh ketika membahas RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 yang dibentangkan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini. | Foto: Ghazali Bujang

RUU baharu untuk skala transformasi yang semakin berkembang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Cadangan untuk membenarkan sehingga empat pelantikan tambahan ke dalam Kabinet negeri penting dalam usaha memastikan struktur tadbir urus Sarawak selaras dengan skala transformasi dan tanggungjawab yang semakin berkembang, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Datuk Seri Wong Soon Koh.

Menurutnya, hujah bahawa Kabinet sedia ada yang terdiri daripada Premier, 10 Menteri dan 26 Timbalan Menteri sudah mencukupi, tidak lagi mencerminkan realiti Sarawak yang sedang maju dan pesat berkembang kini.

“Seseorang mungkin berhujah bahawa struktur Kabinet sekarang sudah lebih daripada mencukupi. Hujah ini mungkin boleh diterima jika realiti tadbir urus kita kekal statik dan sederhana. Tetapi pandangan ini tidak lagi selaras dengan skala transformasi dan tanggungjawab Sarawak kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 yang dibentangkan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini.

Tambahnya, Timbalan Menteri tidak boleh menggantikan peranan Menteri penuh kerana mereka tidak dapat menetapkan hala tuju strategik, tidak memegang kuasa perlembagaan, tidak membuat keputusan eksekutif muktamad atau memikul akauntabiliti penuh kepada Dewan.

“Kepimpinan, akauntabiliti dan hala tuju setiap kementerian terletak sepenuhnya pada Menteri penuh,” ujarnya sambil menyatakan bahawa menteri hari ini mengurus lebih banyak portfolio, agensi dan fungsi strategik berbanding sebelum ini.

Beliau memberitahu, kementerian di Sarawak bukan lagi unit pentadbiran ringkas tetapi organisasi kompleks yang menyelia setiausaha tetap, pengarah, badan berkanun, unit regulatori, pasukan teknikal profesional dan program pembangunan bernilai berbilion ringgit.

“Bebannya meningkat secara eksponen, bukan linear. Mengatakan bahawa ‘1+10 sudah cukup’ mengabaikan kerumitan sebuah kerajaan Sarawak moden,” jelasnya.

Beliau menegaskan, peralihan Sarawak daripada ekonomi berasaskan komoditi kepada sektor bernilai tinggi dan berasaskan pengetahuan termasuk hidrogen, tenaga boleh diperbaharui, pasaran karbon, ekonomi digital, AI, sistem autonomi, bioteknologi dan industri agro-makanan maju menuntut penyeliaan sepenuh masa oleh menteri.

Katanya lagi, ini adalah sektor penentu masa hadapan yang memerlukan portfolio khusus, bukan perhatian berpecah daripada kementerian yang sudah terbeban.

Dalam pada itu, beliau memberitahu Sarawak bakal mengambil lebih banyak fungsi yang dipulangkan melalui MA63, seperti penyelarasan kesihatan, kuasa regulatori dan berpotensi tanggungjawab pendidikan serta infrastruktur.

“Apabila tanggungjawab persekutuan beralih kepada negeri, Kabinet mesti diperluaskan untuk memenuhi mandat itu. Kabinet yang statik ketika tanggungjawab bertambah adalah tidak bertanggungjawab,” tegasnya.

Beliau memaklumkan, projek infrastruktur besar negeri termasuk Grid Air Sarawak, Grid Tenaga Sarawak, kesalinghubungan digital seluruh negeri, sistem mobiliti hijau dan pembangunan modal insan masing-masing memerlukan perhatian khusus seorang menteri.

“Kabinet 1+10 adalah milik Sarawak terdahulu,” katanya sambil menegaskan bahawa Sarawak hari ini jauh lebih maju secara ekonomi, lebih terhubung di peringkat global dan lebih dipacu teknologi.

Beliau menjelaskan, Belanjawan 2026 merangkumi sembilan teras strategik yang meliputi semua aspek agenda pembangunan negeri sekali gus menggambarkan skala tanggungjawab yang dipikul Kabinet.

“Pindaan ini bukan tentang menambah lebih ramai menteri. Ia tentang membina struktur tadbir urus yang sepadan dengan skala masa depan Sarawak.

“Ia tentang memastikan pengawasan yang lebih mendalam, tanggungjawab portfolio yang lebih jelas, kepimpinan yang lebih fokus dan keupayaan lebih kukuh untuk mengurus sebuah Sarawak yang sedang berubah,” jelasnya lagi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU