KUALA LUMPUR: Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2025 menjadi tarikan utama Pavilion Sarawak di MATTA Fair Kuala Lumpur yang diadakan di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula 18 hingga 20 April ini.
Sempena promosi awal festival ikonik tersebut, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) memperkenalkan ‘Sarawak Borneo Pass’ dengan tawaran eksklusif yang memberikan diskaun 20 peratus tambang penerbangan ke Sarawak sepanjang tempoh RWMF 2025.
Menurut kenyataan STB, inisiatif ini dijalankan bersama Malaysia Aviation Group (MAG), melibatkan Malaysia Airlines dan Firefly sebagai rakan penerbangan rasmi.
“Untuk promosi ‘Sarawak Borneo Pass’, tempoh promosi bermula 12 Mac hingga 22 Jun 2025, manakala tempoh perjalanan bermula 14 Jun hingga 29 Jun 2025.
“Kod promosi untuk Malaysia Airlines: MHRWMF25 dan Firefly: FRWMF25.
“Pada masa sama, turut ditawarkan diskaun sebanyak 5 peratus untuk pembelian pakej pelancongan ke Sarawak kepada pemegang kad RHB Bank apabila tempahan dilakukan menerusi rakan dagang terpilih sepanjang pameran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas kenyataan itu, RWMF 2025 yang terkenal dengan gabungan muzik etnik, kontemporari dan persembahan antarabangsa dijangka menarik ribuan peminat muzik dan pelancong dari seluruh dunia ke Sarawak.
Penganjuran festival ini bukan sahaja mempromosikan warisan budaya dan seni Sarawak, malah merancakkan sektor pelancongan negeri.
Sehubungan itu, bagi mengunjung MATTA Fair, pas masuk harian ke RWMF 2025 hanya boleh dibeli menerusi rakan dagang rasmi STB di Pavilion Sarawak (Gerai 1A01-1A12 dan 1B01-1B12) dengan setiap pembelian disertakan hadiah eksklusif yang boleh ditebus semasa festival berlangsung.
Selain mempromosi RWMF 2025, Pavilion Sarawak turut mengetengahkan lebih 20 pempamer termasuk pengusaha pelancongan, pengeluar produk tempatan dan pembuat kraf tangan.
Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan muzik tradisional seperti Sape, ‘nose flute melodies’, tarian pelbagai etnik, demonstrasi tatu, anyaman dan masakan tempatan seperti Laksa Sarawak serta Kek Lapis.
Justeru, penyertaam Sarawak di Matta Fair ini menunjukkan komitmen berterusan dalam mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini dengan tumpuan kepada pelancongan berasaskan budaya, komuniti dan alam semula jadi.


