KUCHING: Sarawak dan Sabah wajar menerima 70 peratus daripada hasil cukai karbon yang dikutip di Malaysia memandangkan kedua-dua negeri ini memainkan peranan penting dalam dasar karbon negara sebagai kawasan simpanan karbon terbesar.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keupayaan Malaysia memenuhi komitmen iklim di bawah Perjanjian Paris banyak bergantung kepada keluasan hutan, tanah gambut dan ekosistem paya bakau di Sarawak dan Sabah, sekali gus menjadikan kedua-dua negeri tersebut sebagai tonggak utama agenda kelestarian alam sekitar negara.
“Saya telah memaklumkan kepada Kerajaan Persekutuan bahawa sebelum melaksanakan cukai karbon, mereka perlu mengambil kira komponen cukai yang sepatutnya disalurkan kepada Sabah dan Sarawak kerana kita merupakan kawasan simpanan karbon.

“Jika cukai karbon dikenakan, 70 peratus daripada hasil cukai itu mesti dikembalikan kepada Sabah dan Sarawak kerana kita ialah penjaga karbon serta turut menghasilkan oksigen melalui proses fotosintesis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Gawai Kaamatan Bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) ke-17 di Kompleks UNIFOR di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Sarawak mendahului dengan menggubal undang-undang berkaitan pelepasan gas rumah hijau dua tahun lebih awal sebelum Kerajaan Persekutuan memperkenalkan perundangan yang sama.
Katanya, ketika Kerajaan Persekutuan merangka undang-undang berkaitan pelepasan karbon, mereka turut mendapatkan pandangan Sarawak berhubung kerangka perundangan yang dibangunkan di negeri ini.
Merujuk kepada Perjanjian Paris, beliau menjelaskan pelepasan karbon perlu diseimbangkan dengan penyerap karbon semula jadi dan hutan kekal sebagai kaedah paling berkesan untuk menyerap dan menyimpan karbon.
“Di Malaysia, jika tiada Sabah dan Sarawak, tiadalah hutan. Satu-satunya negeri yang masih mempunyai kawasan hutan yang agak luas, walaupun tidak setanding dengan kita, ialah Pahang.
“Justeru, kekuatan Malaysia dalam penyimpanan karbon terletak di Sabah dan Sarawak. Undang-undang mesti mengiktiraf bahawa dasar karbon negara bergantung kepada Sabah dan Sarawak, dan undang-undang itu mestilah adil,” ujarnya.
Beliau memaklumkan, keluasan hutan, tanah gambut dan paya bakau di Sarawak merupakan aset strategik dalam ekonomi hijau yang berkembang dan ekosistem paya bakau juga mampu menyimpan sehingga empat kali ganda lebih banyak karbon berbanding hutan biasa.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengaitkan dasar karbon dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang berteraskan keterangkuman sosial, kemakmuran ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
Mengulas gesaan Presiden DCCI, Datuk Allan Keripin Nangkai sebelum ini agar masyarakat bumiputera turut menikmati manfaat daripada perdagangan karbon, Abang Johari mengiktiraf peranan penting komuniti tersebut dalam memelihara sumber hutan.


