Safiee hulur bantuan kepada mangsa ribut Sungai Serban

DARO: Lima sekeluarga berdepan detik cemas apabila atap rumah mereka diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Sungai Serban, Nanga Lassa petang semalam.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira 6.00 petang itu, kesemua mangsa sedang berehat di ruang tamu rumah berkenaan.

Menurut sumber, ia merupakan kejadian pertama menimpa lima sekeluarga itu sepanjang mendiami rumah terbabit sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, beberapa rumah panjang yang terletak berhampiran kediaman mangsa terselamat dan tidak mengalami sebarang kerosakan.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad ketika dihubungi berkata, beliau sudah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Kesemua mangsa katanya, bernasib nasib baik kerana sempat menyelamatkan diri.

“Sebaik menerima berita itu, saya terus menghantar wakil untuk melawat dan seterusnya menghulurkan bantuan segera bagi membaiki rumah mangsa.

“Sehubungan itu, saya menzahirkan rasa simpati dengan nasib Pater Jugah, 38, serta keluarganya dan berharap mereka bersabar dengan musibah yang menimpa,” ujarnya.

Dua wakil ADUN N.43 Daro meninjau keadaan rumah mangsa.