KUCHING: Pendekatan Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC) untuk menggunakan seni bina berfederasi membolehkan perkongsian data masa nyata tanpa memusatkan data dalam satu pangkalan tunggal.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, pendekatan itu juga membolehkan interoperabiliti data secara masa nyata.
“SAIC mengguna pakai seni bina berfederasi berbanding pemusatan pengumpulan data. Penerapan seni bina berfederasi membolehkan interoperabiliti data secara masa nyata, sekali gus menyokong proses pembuatan keputusan yang lebih pantas dan bermaklumat.
“Seterusnya, turut mengamalkan templat pelaksanaan standard bagi mempercepat pembangunan dan penggunaan penyelesaian AI di lapangan, dengan menggunakan semula corak seni bina yang telah terbukti berkesan berbanding membangunkan sistem dari awal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan ADUN Ba Kelalan Baru Bian pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Tambahnya, bagi projek yang mempunyai kes penggunaan serupa, SAIC menggunakan pendekatan reka bentuk yang sama bagi memastikan skema data diseragamkan merentasi agensi, selain bekerjasama dengan pembangun tempatan dan universiti bagi mempercepatkan pelaksanaan.
“SAIC mengekalkan prinsip utama bahawa semua data dan pengkomputeran kekal berdaulat dalam Sarawak, manakala pemilikan data terus berada di bawah agensi masing-masing dengan SAIC bertindak sebagai penyelaras,” katanya.
Menjawab soalan tambahan mengenai seni bina berfederasi dan projek yang sedang dilaksanakan, beliau menjelaskan bahawa SAIC kini menerajui lima inisiatif utama yang menjadi asas kepada pembangunan ekosistem AI negeri.
Antaranya ialah Pelan Induk AI Sarawak 2026–2030, inisiatif Grid AI, platform AI bersepadu DeepSAR, program biasiswa penyelidikan bersama Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan penubuhan Kumpulan Penyelidikan Quantum AI.
Mengulas lanjut mengenai seni bina berfederasi, setiap agensi mengekalkan pemilikan dan kawalan data masing-masing, namun membolehkan perkongsian data yang selamat dan lancar melalui kerangka bersama kerajaan.
Sementara, model integrasi itu berasaskan tiga komponen utama iaitu lapisan pertukaran data berdaulat yang dihoskan dalam infrastruktur dikawal Sarawak, penggunaan antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) serta skema data standard selaras dengan kerangka interoperabiliti nasional, dan kerangka dasar serta tadbir urus yang menyeluruh.
“Kerangka tadbir urus itu turut merangkumi garis panduan pengelasan data, kebenaran akses dan mekanisme audit yang dibangunkan bersama agensi berkaitan serta selaras dengan agenda nda Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS2030) dan Digital Ekonomi Sarawak (SDE) 2030,” jelasnya.
“Pendekatan itu memastikan semua data yang dikongsi kekal dalam bidang kuasa negeri, selain membolehkan agensi menerbit dan melanggan aliran data tanpa integrasi khusus secara berasingan,” katanya.



