ARTIKEL

Ketua Pegawai Eksekutif SAINS Busiai Seman ketika membuat pembentangan semasa mesyuarat SAINS Spotlight 2026 di Hotel Pullman.

SAINS sasar bangun platform analitik SAR berteknologi tinggi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sistem Maklumat Sarawak Sdn. Bhd. (SAINS) menyasarkan pelaburan strategik tahun ini dengan memacu pembangunan platform analitik Radar Bukaan Sintetik (SAR) berteknologi tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif SAINS Busiai Seman berkata dalam bidang penderiaan jauh (remote sensing), terdapat pelbagai jenis imej dikenali sebagai imejan multispektral yang memerlukan proses perolehan serta analisis dengan tahap kepakaran teknikal tinggi.

“Sebagai contoh, imejan satelit yang menggunakan penderia aktif, iaitu teknologi radar, berfungsi dengan memancarkan isyarat elektromagnet atau gelombang mikro.

“Teknologi radar membolehkan pemerolehan imejan lebih konsisten kerana isyarat tersebut berupaya menembusi lapisan awan secara langsung.

“Manakala penderia pasif tidak mampu menembusi awan, menyebabkan imejan satelit konvensional sering terjejas di kawasan seperti Sarawak yang kerap diliputi awan tebal dan hujan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pembentangan pada mesyuarat SAINS Spotlight 2026 di Hotel Pullman di sini, hari ini.

Justeru, katanya, teknologi SAR menawarkan penyelesaian berkesan terhadap cabaran tersebut kerana keupayaannya merakam imejan tanpa dipengaruhi awan, jerebu atau asap.

“Isyarat elektromagnet yang dipancarkan mampu menembusi hingga ke permukaan bumi, sekali gus membolehkan rakaman imej dilakukan pada bila-bila masa, sama ada siang atau malam.

“Keupayaan ini amat penting dalam menangani pelbagai cabaran yang dihadapi bukan sahaja di Sarawak atau Malaysia, malah di kebanyakan negara beriklim tropika,” katanya.

Dengan keupayaan teknologi SAR, tambahnya, langit bukan lagi menjadi had kerana imejan masih boleh dirakam walaupun dalam keadaan berawan atau hujan.

“Imejan tersebut boleh dirakam dan seterusnya dianalisis. Bagi membolehkan proses analisis dilakukan dengan berkesan, di sinilah peranan SAINS untuk melabur dalam pembangunan platform analitik SAR.

“Apabila data SAR tersedia, pengguna tidak lagi perlu mendapatkan peralatan atau teknologi khusus. Sebaliknya, data tersebut hanya perlu dimuat naik ke dalam platform kami untuk diproses dan menghasilkan output berdasarkan keperluan pengguna.

“Dalam erti kata lain, pengguna tidak perlu memahami secara mendalam bagaimana teknologi itu berfungsi kerana teknologi tersebut sangat khusus dan kompleks,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa SAINS telah mula melabur dalam teknologi penderiaan jauh sejak beberapa tahun lalu, namun fokus kini beralih kepada pembangunan keupayaan SAR.

“Lebih berkesan sekiranya SAINS membangunkan platform berasaskan awan yang boleh digunakan oleh semua agensi bagi memproses data SAR.

“Maka setiap agensi tidak perlu memiliki teknologi khusus masing-masing, sebaliknya menggunakan platform yang kami sediakan. Itulah hala tuju kami,” katanya.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU

Chip semikonduktor ngaga meter karan

KUCHING: SMD Semiconductor deka nanggam kerejasama enggau siti kompeni ari China dikena ngadu langkar tengkebang chip semikonduktor Sarawak dikena ngaga meter karan. Premier Sarawak, Datuk

Projek jematan Sarawak diaku

KUALA LUMPUR: Jematan Muara Lassa di Bagi Menua Mukah nurai pemujur ngemegah ati pengudah Opis Kereja Raya (JKR) Sarawak menang kategori projek besai lebuh Road