ARTIKEL

Gambar hiasan

Salah Guna Dadah Secara Berulang, Lelaki Dipenjara Lima Tahun, Satu Sebatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini, kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis syabu secara berulang.

Isa Mohamad, 40, dari Kampung Lutong Sebangan itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.

Mengikut pertuduhan, dia mempunyai dua rekod lampau pada 22 Ogos dan 2 November 2023 di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagi pertuduhan kali ini, tertuduh didakwa mengambil dadah terlarang sekali lagi jenis methamphetamine dan amphetamine ketika ditahan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Kuching sekitar 1.10 tengah hari pada 12 Ogos 2024.

Pendakwaan kes dijalankan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39C(1) daripada akta sama.

Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Manakala, Seksyen 39C(1) memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta sebatan tidak lebih tiga kali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Menurut fakta kes, tertuduh ditahan oleh sepasukan polis dari JSJN IPD Kuching yang diketuai oleh seorang pegawai polis sebelum dibawa untuk menjalani ujian saringan air kencing.

Hasil ujian awal air kencing mendapati tertuduh positif dadah.

Laporan analisis daripada makmal dadah dan penyelidikan Jabatan Patologi Hospital Umum Sarawak kemudian mengesahkan sampel urin tertuduh mengandungi methamphetamine dan amphetamine.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 11 Februari lepas.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Adriana Maisarah Mohd Farid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU