BINTULU: Projek Loji Janakuasa Kitaran Gabungan Samalaju (CCPP) dan saluran paip gas di Samalaju memainkan peranan penting dalam memperkukuh keselamatan tenaga Sarawak, menyokong pertumbuhan industri serta memastikan bekalan elektrik lebih stabil dan berdaya tahan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Julaihi Narawi berkata, projek itu penting bagi menyokong aspirasi Sarawak mencapai kapasiti penjanaan tenaga sebanyak 10 gigawatt (GW) menjelang 2030 dan 15GW menjelang 2035.

Menurut beliau, bekalan tenaga yang stabil dan boleh diharap penting untuk menyokong pertumbuhan industri, meningkatkan keyakinan pelabur serta memperkukuh daya tahan grid tenaga negeri.
“Projek ini turut mencerminkan pendekatan tenaga seimbang Sarawak melalui penggunaan gas asli sebagai bahan api lebih bersih di samping melengkapi sumber tenaga hidro sedia ada, sejajar dengan usaha menuju masa depan tenaga rendah karbon,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa lawatan ke tapak projek pembangunan gas dan penjanaan tenaga Samalaju, pada Ahad.
Projek Samalaju CCPP turut menyokong aspirasi Sarawak menjadi hab tenaga hijau ASEAN menerusi penggunaan teknologi Combined Cycle Gas Turbine (CCGT) yang lebih cekap dan mempunyai pelepasan karbon lebih rendah.
Projek itu juga bersedia untuk penggunaan teknologi pembakaran bersama hidrogen pada masa depan selaras dengan agenda penyahkarbonan Sarawak.
Mengenai perkembangan projek, beliau berkata komponen luar pesisir saluran paip Samalaju siap pada Oktober 2025, manakala kerja darat dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun ini.

“Setakat ini, projek merekodkan lebih 1.5 juta jam bekerja selamat, mencerminkan komitmen tinggi terhadap aspek keselamatan sepanjang pelaksanaan projek,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan aspek keselamatan pekerja tidak boleh dikompromi walaupun projek memasuki fasa seterusnya.
Julaihi turut merakamkan penghargaan kepada pasukan projek, kontraktor dan semua pihak terlibat atas profesionalisme serta pematuhan standard keselamatan sepanjang pelaksanaan projek.
Projek itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur tenaga, malah menyumbang kepada pembangunan bakat tempatan dan penglibatan industri Sarawak.
Katanya, jurutera, juruteknik dan profesional anak Sarawak kini memainkan peranan penting dalam rantaian nilai projek berkenaan.
“Malah, apabila operasi loji bermula kelak, kira-kira 163 tenaga kerja tempatan dijangka terlibat dalam operasi dan penyelenggaraan loji melibatkan pelbagai disiplin teknikal,” katanya.
Tambah beliau, langkah itu penting bagi meningkatkan kemahiran rakyat Sarawak dalam mengendalikan infrastruktur tenaga kritikal serta mewujudkan peluang pekerjaan dan limpahan ekonomi kepada negeri.
Pada masa sama, beliau berkata, kerja darat projek dilaksanakan kontraktor tempatan, sekali gus mencerminkan komitmen PETROS dalam memperkukuh penyertaan syarikat Sarawak dalam industri minyak dan gas.
Menurutnya, Sarawak Energy turut komited meningkatkan penglibatan vendor tempatan menerusi pembangunan keupayaan vendor dan keutamaan kepada kontraktor Sarawak dalam projek Samalaju CCPP.
Katanya, usaha itu dijangka membuka lebih banyak peluang jangka panjang kepada perniagaan tempatan dalam sektor teknikal, penyelenggaraan dan perkhidmatan operasi.
Beliau berkata, projek Samalaju CCPP dan saluran paip gas itu bukan sahaja penting dari aspek operasi, malah melambangkan strategi Sarawak dalam memperkukuh penggunaan sumber asli domestik, menjamin keselamatan tenaga dan menyokong pembangunan industri mampan negeri.



