KOTA SAMARAHAN: Samarahan berada di landasan kukuh untuk muncul sebagai Metropolis Kesihatan pertama di Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang menerusi pembangunan ekosistem yang menggabungkan sektor kesihatan, pendidikan, penyelidikan dan industri berteknologi tinggi.
Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, pembangunan itu bukan sekadar menumpukan kepada pembinaan hospital, malah melibatkan keseluruhan rantaian nilai termasuk universiti, pusat penyelidikan, pembuatan peranti dan produk perubatan serta industri berasaskan teknologi tinggi.

“Kesihatan bukan lagi sekadar mempunyai beberapa buah hospital di satu kawasan. Apa yang kita bangunkan di Samarahan ialah sebuah Metropolis Kesihatan, iaitu gabungan hospital, universiti, pusat penyelidikan dan sektor perubatan yang saling melengkapi.
“Dalam tempoh 10 tahun akan datang, kawasan ini akan menjadi sebuah kluster bernilai tinggi yang memacu pembangunan ekonomi Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Festival Makanan dan Kebudayaan Samarahan 2026 di Tapak Pasar Tamu Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Desa Ilmu, semalam.
Menurut beliau, pendekatan itu bakal mewujudkan sebuah kluster pembangunan bernilai tinggi yang mampu menarik pelaburan, melahirkan tenaga kerja berkemahiran serta menawarkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat Sarawak.
“Samarahan kini mempunyai asas kukuh untuk merealisasikan hasrat tersebut dengan kewujudan pelbagai institusi kesihatan utama seperti Pusat Jantung Sarawak, Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak serta Pusat Kanser Sarawak yang sedang dibangunkan.
“Pusat Jantung Sarawak turut membuktikan kecemerlangannya apabila tersenarai dalam kelompok 100 pusat jantung terbaik di rantau Asia Pasifik,” ujarnya.
Menurut beliau, perkembangan pesat sektor kesihatan turut disokong oleh kehadiran institusi pengajian tinggi yang berperanan melahirkan bakat serta tenaga mahir bagi memenuhi keperluan industri baharu.
“Ekonomi Sarawak kini sedang berubah. Kita bukan lagi hanya bergantung kepada sektor perladangan atau pembalakan.
“Kita bergerak ke arah ekonomi digital, tenaga hijau, penangkapan karbon serta industri berteknologi tinggi yang memerlukan lebih ramai tenaga mahir,” katanya.
Beliau berkata, penyelidikan perubatan yang dijalankan di Sarawak juga semakin mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila negeri ini diberi peluang menyertai ujian klinikal bagi pembangunan ubat-ubatan baharu.
Dalam pada itu, beliau berkata, pembangunan Samarahan turut diperkukuh menerusi pelaksanaan projek sistem pembetungan bernilai kira-kira RM600 juta yang dijangka ditender pada tahun depan.
Selain itu, pembinaan bangunan baharu MPKS juga akan menjadi pemangkin kepada pembangunan bandar dengan menyediakan pelbagai kemudahan awam yang lebih moden untuk komuniti setempat.
Mengulas mengenai festival tersebut, Dr. Sim menyifatkan penganjurannya sebagai platform penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum serta mempromosikan identiti Sarawak kepada masyarakat luar.
“Festival seumpama ini turut memberi peluang kepada kira-kira 30,000 mahasiswa yang menuntut di Samarahan, termasuk pelajar antarabangsa, untuk mengenali budaya, makanan dan cara hidup masyarakat tempatan.
“Apabila mereka pulang ke negara atau negeri masing-masing suatu hari nanti, kita mahu mereka membawa bersama pengalaman indah tentang Sarawak dan menjadi duta kecil yang mempromosikan negeri ini kepada dunia,” katanya.


