KUCHING: Samarahan dan Kuching menjadi dua kawasan di Sarawak yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 8 pagi ini.
Berdasarkan laporan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Samarahan mencatat bacaan IPU tertinggi di negeri ini iaitu 116, diikuti Kuching dengan bacaan 110, sekali gus melepasi paras 100 yang diklasifikasikan sebagai tidak sihat.
Sementara itu, beberapa kawasan lain di Sarawak masih mencatat bacaan pada tahap sederhana dengan Sarikei merekodkan IPU 86, diikuti Sri Aman (84), Sibu (83) dan Bintulu (83).
Mukah pula mencatat bacaan 72, diikuti Samalaju (74), Miri (64), Kapit (59), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (57) dan Limbang (52).
Bagaimanapun, stesen pemantauan APIMS di Serian tidak merekodkan sebarang bacaan IPU setakat jam 8 pagi ini.
Mengikut klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara 51 hingga 100 berada pada tahap sederhana, manakala bacaan 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat.
Orang ramai, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang menghidap penyakit pernafasan, disaran mengehadkan aktiviti luar sekiranya bacaan IPU di kawasan masing-masing terus berada pada tahap tidak sihat.
APIMS turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat terkini mengenai bacaan IPU dari semasa ke semasa serta mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan pendedahan kepada pencemaran udara.


