Sambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana norma baharu

KUCHING: Walaupun sambutan Hari Raya Aidilfitri berbeza pada tahun ini, perayaan ini terus mengukuh silaturrahim dalam kalangan keluarga dan memupuk semangat hormat-menghormati, perpaduan dan kerjasama antara semua kaum yang berbeza kepercayaan agama, budaya dan latar belakang.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, sambutan bagi tahun ini berbeza ekoran pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan Malaysia.

Katanya, kita masih lagi berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kerjasama anda semua untuk mematuhi segala arahan PKPB amatlah diperlukan dalam membantu barisan hadapan negara kita yang sedang berjuang untuk memutuskan rantaian penyebaran wabak Covid-19 ini.

“Justeru, saya menyeru anda semua untuk mematuhi segala arahan PKPB dan SOP yang dilaksanakan demi kebaikan dan keselamatan kita semua,” ujarnya.

Beliau berkata, tradisi rumah terbuka tidak diadakan pada tahun ini, namun kita masih boleh berinteraksi dan bermaaf-maafan menerusi pelbagai platform media sosial seperti Facebook, aplikasi Whatsapp, Instagram dan lain-lain.

Jelas Awang Tengah, inilah norma baru yang harus kita tempuhi. Kita harus bersabar menghadapi cabaran ini.

“Saya yakin bahawa jika kita teguh bersama, wabak ini akan dapat dihapuskan. Insya Allah, kehidupan kita akan kembali seperti sediakala.

“Semoga masyarakat kita akan terus hidup bersatu padu, negara kita akan kekal aman, damai dan stabil.

“Kita berharap keadaan ekonomi negeri dan negara kita akan dapat dipulihkan dan seterusnya kesejahteraan rakyat juga akan dapat dipertingkatkan,” katanya.