KUCHING: Sambutan Hari Krimas tahun ini menjadi seruan kepada kedamaian dan kasih sayang sesama manusia di tengah-tengah pergolakan yang berlaku di dunia ketika ini.
Uskup Gereja Anglikan di Sarawak dan Brunei, Rt Rev. Datuk Danald Jute, berkata bahawa seluruh dunia memerlukan Krismas yang membawa mesej keamanan dan cinta kasih.
Kata Danald, yang juga Pengerusi Persatuan Gereja-Gereja Sarawak (ACS), perayaan terbesar bagi penganut Kristian itu juga membawa makna dunia baharu dan individu baharu dalam kedamaian dunia sejagat, sesama manusia dan Tuhan.
“Apabila tibanya Krismas, ia membawa mesej bahawa Tuhan amat mencintai dunia dan ia memerlukan kita untuk menyahut cinta kasih Tuhan.
“Jadi Krismas adalah tentang dunia baharu, kehidupan baharu dan kedamaian.
“Ia tentang kedamaian antara negara, kedamaian sesama manusia dan kedamaian antara manusia bersama Tuhan, Sang Pencipta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bagi Kebaktian Krismas Gabungan 2024 yang akan diadakan di Pusat Ibadat Ekumenikal Kristian, Jalan Stampin, di sini pada 19 Disember ini.
Sementara itu, Uskup Agung Katolik Kuching, Datuk Simon Poh, berkata Hari Krismas adalah masa untuk membawa mesej keamanan, belas kasihan dan harapan kepada orang ramai.
Justeru, katanya, erti kedamaian itu harus bermula dengan penganut Kristian di negeri ini, termasuk sama-sama menghadiri Kebaktian Krismas Gabungan tersebut untuk berdoa.
“Di Sarawak, kita dapat membina rasa hormat dan penerimaan bersama sebagai permulaan keharmonian.
“Ia bermula dengan doa bagi keamanan, tetapi keamanan harus bermula dalam hati kita.
“Simpan keamanan di hati kita supaya ia mengalir kepada orang di sekeliling kita,” ujarnya, sambil mengajak penganut Kristian untuk menyertai kebaktian berkenaan yang akan bermula pada jam 7.30 malam.
Dalam pada itu, Setiausaha ACS, Ambrose Linang, berkata kebaktian kali ini dianjurkan oleh Gereja Methodist SCAC yang bertemakan ‘Kasih Yang Mengubah’.
“Kami ingin menyatakan bahawa Tuhan mengasihi dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang Tunggal, Yesus Kristus, supaya siapa sahaja yang percaya kepada-Nya tidak akan binasa tetapi memperoleh hidup yang kekal,” katanya.
Oleh itu, Ambrose berkata kandungan acara kebaktian nanti akan memberi penekanan kepada transformasi yang dibawa oleh kasih Tuhan.
Katanya, pembukaan kebaktian akan diserikan dengan persembahan muzik loceng oleh Gereja Methodist Sungai Maong.
Tambahnya, wakil-wakil dari gereja-gereja anggota ACS juga akan bergilir membaca Kitab Suci dan doa dalam pelbagai bahasa, seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Cina, Iban dan Bidayuh Biatah.
“Khutbah bertajuk ‘Kasih yang Mengubah’ akan disampaikan oleh Presiden Gereja Methodist SCAC, Rev Dr Lau Hui Ming.
“Manakala Pusat Penjagaan Kanak-kanak Salvation Army Kuching juga akan mempersembahkan tarian sebagai respons kepada khutbah tersebut,” katanya.
Kumpulan koir, yang terdiri daripada lebih 80 ahli daripada semua gereja anggota ACS akan mempersembahkan pelbagai lagu Krismas.
Selain itu, Gereja Methodist Kuching Timur akan mempersembahkan muzik instrumental dengan lagu ‘We are the Reason’ sementara kutipan sumbangan akan dikumpul semasa kebaktian itu untuk menyokong ACS.
Kata Ambrose, kebaktian itu nanti akan dijalankan terutamanya dalam Bahasa Inggeris dengan terjemahan Bahasa Cina.
“Semua dijemput untuk merayakan Krismas bersama-sama dalam Kebaktian Krismas Gabungan yang istimewa ini di Kuching,” katanya.


