MIRI: Pendidikan terus menjadi keutamaan Samling Group (Kumpulan Samling) apabila syarikat itu menyumbangkan RM200,000 kepada 10 buah sekolah di sini sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2026 dan Tahun Kuda sekali gus mengukuhkan komitmen jangka panjang terhadap pembangunan pendidikan serta komuniti.
Sumbangan itu juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 4: Pendidikan Berkualiti yang mencerminkan usaha berterusan Samling Group dalam memperkasa pelajar serta memperluas akses kepada pendidikan berkualiti.
Setiap sekolah menerima sumbangan sebanyak RM20,000 dan majlis penyerahan cek disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Samling, Lawrence Chia Kee Loong dalam satu majlis yang diadakan di Bilik Lembaga Wisma Samling yang turut dihadiri ahli Lembaga Pengarah Sekolah, pengetua serta guru dari sekolah terlibat.
“Dengan menyokong sekolah secara konsisten selama bertahun-tahun, kami melabur dalam bakat masa hadapan serta memperkasa generasi akan datang dengan kemahiran dan peluang yang diperlukan untuk berjaya termasuk menyumbang secara bermakna kepada Sarawak,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambahnya, sejak sekian lama, Samling mengekalkan pendekatan sokongan pendidikan yang berstruktur dan berterusan dengan memberi tumpuan kepada sekolah di sekitar kawasan operasinya melalui bantuan kewangan berkala, sokongan infrastruktur serta penambahbaikan persekitaran pembelajaran.
Komitmen jangka panjang ini mencerminkan kepercayaan Samling bahawa kemajuan bermakna dalam pendidikan dicapai melalui kesinambungan, kerjasama dan kepercayaan bukannya sumbangan sekali sahaja.
“Justeru, inisiatif ini membuktikan kepercayaan Samling bahawa kelestarian bukan sekadar merangkumi tanggungjawab terhadap alam sekitar, malah turut melibatkan pelaburan jangka panjang dalam pembangunan insan, pendidikan dan komuniti.
“Sumbangan ini juga menyokong tonggak sosial dalam rangka Kerangka Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Samling yang bertujuan memperkukuh kemudahan pendidikan, persekitaran pembelajaran serta peluang kepada para pelajar,” tegasnya.
Untuk rekod, antara sekolah yang menerima sumbangan tersebut termasuk SJK(C) Chung Hua Tudan; SJK(C) Chung Hua Lutong; SJK(C) Chung Hua Pujut; SJK(C) Chung Hua Krokop; SJK(C) Chung San Miri; SJK(C) Chung Hua Miri; SJK(C) Chiaw Nan; Sekolah Menengah Pei Min;
Sekolah Menengah Jalan Riam; dan SMK Chung Hua Miri.

