Sampul duit papar wajah sendiri

KUCHING: Pada tahun 70-an dan 80-an, apabila hendak memberi sumbangan duit kepada seseorang, lazimnya datuk atau nenek kita hanya menggunakan sampul surat.

Amalan itu sangat popular ketika menghadiri kenduri-kendara, kerana menyerahkan wang tanpa sampul dianggap tidak sopan.

Namun sekarang ini, budaya baharu muncul dalam masyarakat dengan mengikut budaya masyarakat Cina iaitu menggunakan sampul wang hadiah atau ‘angpau’ bagi memberikan duit.

Lebih menarik, kecanggihan teknologi menjadikan sampul duit lebih bergaya dan unik dengan pelbagai rekaan serta material digunakan.

Rekaan kreatif dan tersendiri itu pasti membuatkan si penerima mahu menyimpan dan menjadikannya sebagai kenangan.

Malah, kata-kata hikmah, perangsang dan nasihat pada sampul tersebut juga boleh dijadikan panduan hidup khasnya kepada generasi muda.

Pekerja kedai percetakan, Norziana Amira, 30, memberitahu, idea menarik itu direalisasikan sebagai salah satu produk dalam perniagaan membolehkan sampul duit raya tampil lebih ceria pada hari lebaran.

Menurutnya, pelanggan kini bebas memilih sendiri rekaan pada sampul wang dengan memaparkan wajah sendiri atau nama syarikat pada sampul duit raya masing-masing.

“Sama ada pelanggan sendiri atau memerlukan khidmat kami untuk menghasilkan rekaan, terpulang kepada pelanggan untuk memilih warna serta konsep yang diinginkan.

“Paling mendapat permintaan ialah sampul mempunyai gambar sendiri atau bersama-sama keluarga,” katanya kepada Suara Sarawak semalam.

Jelasnya, sampul duit raya dengan rekaan siap lebih berpatutan kerana pelanggan cuma perlu menambah cetakan untuk logo dan maklumat di bahagian belakang sampul duit raya itu.

Sesuai dengan keunikan tersebut, sambutan diterima oleh kedai dan syarikat rekaaan amat menggalakkan, terutama menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.

Selain sampul duit raya, Norziana memberitahu, kad raya turut mendapat tempahan memberangsangkan pada musim perayaan ini.

“Bukan hanya syarikat swasta, agensi dan jabatan kerajaan sahaja, malah pelanggan terdiri daripada pelbagai kaum turut menempah kad raya khas,” ujarnya.

Suara Sarawak