
Juni Jon Ajinoor
Aj Villa, Dalat
23082022.
LIL
Pabila
matahari terbit
dari barat
runtuhlah
gunung munafik
memuntahkan lahar
di ladang kehidupan
lalu tumbuhlah
buah percakapan didustai
tunas perjanjian dimungkiri
bunga pemberian amanah dikhianati
Itu tanda
kata-Nya
sangkakala
hampir bergema.

Wan Hanita Wan Drani
Sungai Buloh.
Gurindam Pesta Buku Yang Dirai
Beramai-ramai ke pesta buku
pastikan bermodal dalam saku.
Boleh berkunjung bila-bila masa
pilih masa usah tergesa.
Bersesak-sesak setiap tempat
atur langkah dengan cermat.
Buat perancangan terlebih dahulu
elak pembaziran secara melulu.
Buat catatan nombor reruai
senang dicari tidak cuai.
Sungguh banyak buku di rak
hati-hati jangan terselerak.
Membeli buku tujuan utama,
membaca buku memperkaya sukma.
Bersua sesama rakan taulan
beramah-mesra usah terkilan.
Maniskan muka promosi buku
pembeli tertarik buku laku.
Pembesar suara penyebar makluman
gunakan berhemah elakkan kecaman.

Justi Amban
Saratok
2022.
SEPASU ANGGEREK YANG MENJADI MIMPI
Bunga anggerek yang sepasu
telah kauberikan padaku
pada musim yang lalu
kini berbunga lebat.
Kuning kelopaknya
bertingkat-tingkat
berkilau menghias pagar
di tepian rumah.
Nanti di hujung bulan
akan kuhantar
seikat kembang itu
menjadi senyum
di meja tulismu
dan menjadi mimpi
dalam lenamu.



