
HAFIZAH MUNIR
Ampang, Selangor.
SYAIR TINGGI DARJAT
Ditulisnya warkah di dalam gelita
memikirkan nasib yang asyik derita
di sana sini hidup merata
tersungkur diri di ceruk kota.
Walaupun ada menara bertingkat
lambang kemajuan negara terhormat
namun di dalamnya tetap melarat
mulut disekat perut diikat.
Kalau dipandang dilihat adanya
tinggi darjat kaya raya
namun tidak semua berjiwa
hanya pandai memanfaatkan sahaja.
Pabila di atas janganlah lupa
hamba di bawah yang menaikkan raja
rela berkorban sehati sejiwa
demi sejahtera hidup bersama.

HANNA SOPHIA HANAFI
Hulu Yam Bharu, Selangor
25 Mei 2023
Lalu Halusinasi Pun Bertamu
Kuinang rindu di dada dinihari
menari wangi akar dani
semerbak puteri menjejak bumi.
Sayangnya hanya ilusi bakawali
mekar semalaman cuma
– persis kasihmu, tika manisnya aku.
Ego catleya tegar berpurnama
ironinya –
enggan mekar di lubuk diam
keliru aku didakap imaginasi kelam
Bagai harum kesidang
hoya carnosa berpaut gayut
akhirnya gugus berserak diratah pawana
aku bukan lagi jambangan di rusuk
berdekat hatimu.
Halusinasi cuma…

©NAZER HASIM
Kapar Klang.
RAHMAT TUHAN
Nafas kauhelakan
bagai menyimpan bebanan
betapa nalurimu terusik
dalam renyai-renyai hujan.
Di mana harus kausandarkan
mengharap secangkir ihsan
adakah langit selamanya mendung
hingga mentari hilang menyepi
Bangkitlah dari kesedihan itu
buangkan jauh kedalam lahar
biar ia hangus terbakar
agar tidak lagi menghantuimu.
Masih ada ruang bahagia
bahagia yang engkau damba
biarkanlah dedaun berguguran
kelak pasti bahagia ditemukan
di sebalik seribu satu ujian
pasti hadirnya rahmat Tuhan.



