
Lim Wei Wen
Melaka-Skudai,
Januari 2022.
Adik ke Kota
Merenung langit biru
matahari berwarna tenang
adik akan ke kota
membaca perasaan
bangunan tinggi
yang dibina
dari bil-bil tertunggak.
Di situ
adik beratur panjang
bersama para sarjana
langsaikan hutang.

Masraden MD
Kuala Lumpur
MELAWAN KANSER
(dedikasi pesakit kanser)
Datang penyakit ujian Tuhan
Hendaklah yakin mesti melawan
Malas berubat jangan biarkan
Amalan hidup mesti teruskan.
Tiada senang tanpanya susah
Rajin usaha hapuskan resah
Biarlah perit ataupun payah
Tawakal diri yakinkan Allah.
Kanser mendatang tak kira waktu
Lawan penyakit niatnya satu
Taati Allah hendaklah jitu
Jikalau ingkar jiwa kematu.
Tiap penyakit ada ubatnya
Setiap keras ada lembutnya
Dalam hidup ada ujiannya
Dalam takut ada beraninya.
Usaha sungguh tawakal Allah
Hidup dan mati urusan Allah
Semangat diri hati berserah
Dengan izin hidup insya-allah.

J.R JEL
Batu 6, Paitan
8 Ogos 2023
KUAKUI
Di pantai ini
aku hanya mengenali ombak
dengan rupa yang pelbagai
jejakku hilang
anak ketam berkejaran lari
buih putih menari-nari
pipiku disentuh angin
dengan wap laut yang dingin
mataku hanyut pergi
di hadapan penuh kerikil
pagi kian ke langit
terbuka penghujung pantai
aku tertunduk, terpegun
rupanya aku telah berkenalan banyak Kebesaran.



