DARO: Sambutan menggalakkan daripada golongan belia terhadap Program Santai Belia Darul Ihsan membuktikan minat anak muda terhadap aktiviti berteraskan ilmu, kerohanian dan pembangunan diri terus kekal tinggi apabila disajikan dengan pengisian yang bermanfaat serta relevan.
Program anjuran Biro Multimedia dan Pendidikan Surau Darul Ihsan itu dirangka sebagai platform untuk memperkasakan golongan muda melalui pelbagai aktiviti yang menumpukan aspek kepimpinan, pembentukan sahsiah serta penghayatan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.

Pengerusi Jawatankuasa Surau Darul Ihsan, Abang Shamsure Abang Wahap berkata penganjuran program berkenaan bertujuan melahirkan belia yang berpengetahuan, berakhlak terpuji dan memiliki jati diri yang kukuh sebagai persediaan menjadi pemimpin masyarakat pada masa hadapan.
“Penganjurannya berfungsi sebagai medium untuk merapatkan hubungan antara belia dengan komuniti setempat di samping menggalakkan mereka menjadikan surau sebagai pusat aktiviti pembangunan ummah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata antara pengisian utama yang mendapat perhatian peserta ialah sesi latihan pengurusan jenazah yang dikendalikan oleh Pegawai Eksekutif Hal Ehwal Islam UiTM Mukah, Al-Fadhil Ustaz Muhd Faiz Kadir, melibatkan penerangan teori serta latihan amali berkaitan tatacara pengurusan jenazah mengikut syariat Islam.

Selain itu, katanya, peserta turut menyertai aktiviti memanah yang dikendalikan oleh Ustaz Muhd Faiz bersama Ustaz Awangku Norizam Pengiran Abdul Rahman sebagai usaha menghidupkan sunnah Rasulullah SAW serta membentuk disiplin, ketelitian dan daya tumpuan dalam kalangan belia.
“Satu sesi tazkirah khas turut diadakan pada sebelah malam yang disampaikan oleh Ustaz Awangku Norizam, menyentuh kepentingan melakukan perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik serta tanggungjawab generasi muda dalam menghadapi cabaran semasa berlandaskan ajaran Islam.
“Program itu diteruskan dengan aktiviti qiamullail yang memberi peluang kepada peserta memperkukuhkan hubungan spiritual melalui pelaksanaan ibadah secara berjemaah serta pengisian munajat dan muhasabah diri,” katanya.
Sehubungan itu, Abang Shamsure berharap program seumpama itu dapat diteruskan secara berkala pada masa hadapan kerana mampu melahirkan generasi muda yang berintegriti, berwawasan dan mempunyai pegangan agama yang mantap demi menyumbang kepada kemajuan masyarakat serta kesejahteraan ummah.






