MARUDI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dipercayai lemas di Sungai Baram, Kampung Long Miri di sini ditamatkan secara rasmi petang tadi, selepas lapan hari pencarian dijalankan tanpa sebarang petunjuk mengenai lokasi mangsa.
Pusat Gerakan Operasi Bomba (PGOB) Sarawak menyatakan bahawa operasi berkenaan ditutup pada pukul 5 petang oleh Ketua Polis Daerah Marudi selepas kesemua usaha pencarian yang dilaksanakan oleh pasukan penyelamat dan agensi terlibat tidak berjaya menemui mangsa.

Mangsa dikenali sebagai Maxwell Laing Michael, 37, dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Baram pada 6 Jun lalu.
“Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 petang apabila mangsa dikatakan berenang menuju ke bahagian tengah sungai sebelum mengalami kesukaran di air dan dilihat terkapai-kapai.
“Mangsa kemudiannya tenggelam dan tidak muncul semula di permukaan sungai. Insiden tersebut disaksikan oleh isterinya Susana Asong, 30, anak mereka, serta kira-kira 15 penduduk kampung yang berada berhampiran lokasi ketika kejadian,” katanya.

Pada hari kelapan operasi, taklimat penyelarasan melibatkan anggota penyelamat dan agensi berkaitan diadakan sebelum operasi diteruskan menggunakan empat perahu bersama penduduk kampung melalui kaedah pencarian di permukaan air.
Unit Pengesan K9 turut digerakkan ke kawasan Lubuk Kem Sambas yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa dipercayai tenggelam.
Anjing pengesan, AP Bella, menunjukkan tindak balas terhadap satu kawasan tertentu semasa proses pengesanan dijalankan.
Bagaimanapun, pencarian lanjut yang dijalankan di kawasan berkenaan gagal menemui sebarang petunjuk baharu.

Operasi turut berdepan cabaran apabila paras Sungai Baram meningkat, arus deras, serta kehadiran kayu hanyut dari kawasan hulu yang menyukarkan pergerakan pasukan penyelamat.
Sepanjang operasi dijalankan, kawasan pencarian diperluaskan sehingga kira-kira 13 kilometer ke hilir sungai dari lokasi kejadian dengan bantuan tujuh bot, terdiri daripada sebuah bot Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebuah bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta lima bot milik penduduk Kampung Long Miri.


