SAR Mohd Ainul, harap mendapat petunjuk baru

BINTULU: Hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) Mohd Ainul Median, 23, yang dikhuatiri hilang di perairan Kuala Serupai Tatau pada Jumaat lalu, diteruskan dengan menggunakan khidmat Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bintulu.
Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata pencarian memfokuskan di kawasan sekitar petunjuk dijumpai semalam dengan harapan mendapat petunjuk baru.
Beliau berkata, keluasan sektor pencarian merangkumi 350 batu nautika persegi termasuk kawasan persisir pantai, bermula dari Kuala Tatau sehingga ke Sungai Kemena.
“Pada jam 12.15 tengah hari semalam, penduduk kampung yang turut serta dalam SAR telah menemui sebatang tiang bendera dengan bahagian hujung ada lampu kelip terdampar di pantai di sektor pencarian pantai, disyaki milik mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Effendy, seramai 80 pegawai dan anggota terdiri daripada JBPM, polis, JPAM, APM, APPM Zon Maritim Bintulu, Polis Marin dan orang awam terbabit dalam SAR hari ini.
“Keadaan laut sedikit bergelora dan mendung serta hujan di lokasi kejadian dan ini sedikit menyukarkan operasi pada pagi ini,” katanya yang berharap pencarian hari ini akan membawa penemuan petunjuk baharu.
Dalam kejadian Khamis lalu, mangsa dilaporkan turun ke laut menangkap ikan sekitar jam 10:30 pagi bersama-sama dua rakan menggunakan bot berasingan.
Namun, sekitar jam 4 petang mangsa tidak muncul di jeti sehinggalah laporan dibuat.
Keluarga mangsa bersama-sama penduduk kampung kemudian keluar ke laut untuk mencari mangsa dan menjumpai bot mangsa telah terdampar di tepi pantai dalam keadaan baik serta enjin masih boleh dihidupkan.

Suara Sarawak