SAR pekerja lemas diteruskan

BINTULU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pekerja warga Myanmar yang dipercayai lemas di kawasan pantai Samalaju berhampiran dengan Pelabuhan Samalaju, Rabu lalu diteruskan seawal jam 7 pagi tadi.

Mangsa yang dikenalpasti sebagai Aung Thu, 27, dipercayai telah mandi di pantai Samalaju pada jam lebih kurang 7 malam Rabu sebelum hilang menurut saksi kejadian yang juga merupakan rakannya.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, sebuah aset (Bot) Zon Maritim Bintulu telah diatur gerakkan bagi menjalankan operasi carilamat mangsa dengan sektor pencarian di sekitar perairan pantai Samalaju dan kawasan darat di pesisir pantai berkenaan.

SAR, katanya, turut mendapat bantuan daripada sebuah bot Pasukan Polis Marin Bintulu, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sambil menambah SAR tersebut akan diteruskan sehingga mangsa dijumpai.

Beliau, dalam pada itu, berharap komuniti maritim terutamanya di Bintulu dapat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan insiden tersebut selain menggesa mreka agar mengutamakan keselamatan semasa berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan dan tidak melakukan aktiviti riadah di pantai memandangkan keadaan laut yang masih bergelora kini .

Maritim Malaysia,katanya lagi, sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254).

Suara Sarawak