KUCHING: Kemajuan sesebuah wilayah perlu turut menjadi kekuatan kepada negara, dengan Sarawak mahu menyumbang menerusi sektor ekonomi, tenaga, industri, teknologi dan pembangunan serantau.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata hala tuju masa depan Sarawak sudah terencana dengan jelas bagi memastikan negeri ini terus maju dan makmur dalam Malaysia.
“Kita mahu Sarawak terus maju dan makmur dalam Malaysia, dan pada masa yang sama memastikan kemajuan Sarawak turut menjadi kekuatan kepada Malaysia melalui ekonomi, tenaga hijau, industri, teknologi dan pembangunan serantau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Sambutan Hari Malaysia 2026 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), di sini, malam ini.
Menurutnya, selepas 63 tahun pembentukan Malaysia, tumpuan bukan sahaja diberikan kepada sejarah penubuhan negara, tetapi turut melihat perjalanan negara dan hala tuju untuk menjadi sebuah negara yang maju, stabil dan mampan pada dekad akan datang.
“Selepas 63 tahun, kita bukan sahaja mengenang sejarah pembentukan Malaysia, tetapi juga melihat bagaimana perjalanan negara selama ini.
“Kita akan terus mengorak langkah untuk menjadi sebuah negara yang maju, stabil dan mampan pada dekad-dekad yang akan datang,” ujarnya.
Abang Johari berkata Sarawak mahu terus maju dan makmur dalam Malaysia, pada masa sama memastikan pembangunan negeri menyumbang kepada kekuatan negara melalui sektor yang mempunyai potensi untuk berkembang pada masa hadapan.
“Hala tuju ekonomi Sarawak turut berpaksikan dasar jangka panjang di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS 2030).
“Ekonomi hijau dan mampan menjadi antara asas untuk mengangkat status ekonomi negeri kepada ekonomi maju dan berpendapatan tinggi,” jelasnya.
Beliau menambah pembangunan Sarawak juga perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas, termasuk peranannya dalam pembangunan serantau melalui sektor ekonomi, tenaga, industri dan teknologi.
“Saya yakin dengan pendekatan mengambil kira kepentingan pembangunan semua wilayah secara menyeluruh yang lebih serius, kesatuan rakyat negara ini akan menjadi lebih utuh.
“Mereka akan rasa dihormati, dihargai dan diberi perhatian yang selayaknya,” katanya.
Ujarnya lagi, Sarawak akan terus maju dalam gagasan Malaysia yang progresif dan stabil, pada masa sama menyumbang kepada Malaysia yang lebih kuat serta ASEAN yang lebih bersepadu.


