KUCHING: Syarikat perusahaan Satok Bridge Area Consulting Engineers Sdn Bhd dari Sarawak menjadi antara lima pemenang Program Shell LiveWIRE Malaysia 2022 peringkat kebangsaan.
Syarikat kejuruteraan yang diasaskan oleh Lavindar Singh dan Rinal Roney tersebut berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000 iaitu sejumlah RM30,000 dana permulaan dari Shell dan tambahan RM20,000 daripada Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) yang diperuntukkan kepada pemenang dari negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyeru supaya syarikat yang berjaya terus mengingati kepentingan dalam memberi semula kepada masyarakat khususnya dari segi motivasi dan inspirasi.
Katanya, perkara tersebut penting kerana pengasas yang berjaya sering dilihat sebagai mentor, jurulatih dan juga pelabur untuk bakal usahawan muda ke arah mencapai visi yang sama.
“Saya ingin tekankan kepentingan bercerita dalam mempamerkan kisah kejayaan syarikat pemula di Malaysia.
Dengan menyerlahkan pencapaian ini, kita dapat mencipta kitaran inspirasi yang positif, menarik pelaburan dan bakat, serta menggalakkan perkongsian pengetahuan.
“Justeru, marilah kita raikan kejayaan dengan menceritakan, melaporkan dan berkongsi kisah ini kerana ia mewujudkan peluang rangkaian, memupuk kerjasama dan memberi inspirasi kepada pertumbuhan serta sokongan baik dalam ekosistem permulaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Anugerah Kebangsaan Shell LiveWIRE di Perkampungan Digital Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), di sini, semalam.
Tambahnya, beliau percaya menerusi perkongsian tersebut mampu mewujudkan ekosistem berkembang yang maju kepada syarikat pemula dan akhirnya membawa kepada kemakmuran bersama serta pembangunan warga berfikiran digital termasuk semangat keusahawanan.
“Oleh itu, matlamat kita mesti sejajar dengan dasar negara, mewujudkan masa hadapan lebih cerah untuk keperluan sosioekonomi dan penjagaan alam sekitar kita,” ujarnya.
Sementara, empat lagi perusahaan dari Sabah dan Semenanjung Malaysia turut menerima anugerah tersebut iaitu Beebag yang diasaskan oleh Joshua Lim dan Joel Lim; ManekNya (Swee Lin Lee dan Swee May Lee); Qarbotech (Mohamad Syazwan Abdul Rahman dan Chee Hoe Chor); Hong Xin Food Sdn Bhd (Cherry Chew Li Ding dan Ariel Maxine Kim Hoong Chia).
Dalam hal hal berkaitan, Pengerusi Negara Shell Malaysia merangkap Naib Presiden Kanan Huluan Malaysia, Siti Hurairah Sulaiman turut memaklumkan bahawa LiveWIRE merupakan program utama Shell yang kini dihantar di 20 negara tempat Shell beroperasi.
Katanya, selama 41 tahun yang lalu mereka telah melatih lebih 10 juta usahawan dan menyokong 9,000 perniagaan di seluruh dunia.
“Sejak diperkenalkan di Malaysia pada 2015, sehingga kini kami melabur lebih RM3 juta dalam melaksanakan program ini untuk melatih lebih 600 usahawan baharu di Sarawak dan Sabah serta menganugerahkan kira-kira setengah juta ringgit geran permulaan bagi menyokong usahawan meningkatkan perniagaan mereka.
“Di Sarawak, kita sangat bertuah kerana membina perkongsian yang kukuh dengan TEGAS, mereka menyokong usaha kami dalam memangkin pertumbuhan keusahawanan di sini.
“Pada 2022, kita memperluaskan program ini ke Semenanjung Malaysia…Semua berada di sini untuk meraikan perjalanan 15 usahawan terbaik dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia,” jelasnya.
Menurut Siti, usahawan LiveWIRE dari Sarawak dan Sabah turut berjaya memperoleh 99 kontrak perniagaan dengan peruncit Shell tahun lepas, termasuk usahawan LiveWIRE, Ahmad Tamar dari Kuching


