ARTIKEL

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Sarawak antara tiga negeri di Malaysia catat penurunan tertinggi bilangan perceraian orang bukan Islam pada 2023

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak antara tiga negeri di Malaysia yang mencatatkan penurunan tertinggi bilangan perceraian orang bukan Islam pada 2023, dengan sebanyak 512 atau 22.9 peratus kes.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata jumlah itu selari dengan jumlah penurunan keseluruhan perceraian orang bukan Islam, iaitu sebanyak 21.4 peratus, daripada 17,200 pada 2022 kepada 13,513 pada tahun lalu.

“Tiga negeri yang mencatatkan penurunan tertinggi bilangan perceraian ini ialah Selangor dengan sebanyak 832 kes atau 22.9 peratus, diikuti Johor sebanyak 754 kes bersamaan 26.4 peratus, dan Sarawak sejumlah 512 kes.

“Perceraian tertinggi golongan ini adalah mereka yang berada dalam kumpulan umur 30 hingga 34 tahun bagi lelaki dan perempuan,” menurutnya dalam satu kenyataan, semalam.

Secara keseluruhan, Uzir memberitahu bilangan perceraian di seluruh negara menurun sebanyak 8.7 peratus daripada 63,338 kes pada tahun 2022 kepada 57,835 kes pada tahun 2023.

“Justeru, Kadar Perceraian Kasar (CDR) semakin baik, daripada 1.9 peratus pada 2022 kepada 1.8 peratus pada tahun lalu, bagi setiap seribu penduduk.

“Sementara bilangan perceraian orang Islam mencatatkan penurunan 3.9 peratus pada tahun lepas dengan sebanyak 44,322 kes direkodkan, berbanding 46,138 kes pada tahun sebelumnya,” ujarnya.

Tambahnya, tiga negeri yang mencatatkan penurunan tertinggi bilangan perceraian orang Islam ialah Kelantan dengan sebanyak 1,250 kes atau 28.7 peratus, diikuti Johor melibatkan sejumlah 790 kes atau 13 peratus, dan Sabah seramai 756 kes atau 19.5 peratus.

“Selari dengan penurunan bilangan perceraian, kadar perceraian am juga menunjukkan penurunan bagi lelaki daripada 8.9 peratus pada 2022 kepada 8.0 pada 2023 bagi setiap seribu penduduk lelaki berumur 18 tahun dan lebih yang telah berkahwin.

“Trend yang sama juga direkodkan bagi perempuan, ia menurun daripada 8.8 peratus pada 2022 kepada 7.8 peratus tahun lalu bagi setiap seribu penduduk perempuan berumur 16 tahun dan lebih yang berkahwin,” jelasnya.

Tambahnya, kadar perceraian am bagi lelaki dan perempuan Islam masing-masing menurun kepada 9.7 peratus dan 9.9 peratus pada tahun lalu, berbanding 10.4 peratus dan 10.6 peratus pada tahun lalu.

“Bagi orang bukan Islam, kadar perceraian am lelaki juga menurun daripada 6.2 pada 2022 kepada 4.7 pada tahun 2023, manakala perempuan turut menurun daripada 6.3 peratus kepada 4.8 peratus,” tegasnya.

Dalam pada itu, orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut boleh melayari OpenDOSM NextGen sebagai medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi untuk memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data atau diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU