Sarawak bakal ada rombakan Kabinet?

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg masih mengunci mulut untuk mengulas sama ada wujudnya rombakan Kabinet Sarawak.

Terdahulu, wujudnya spekulasi yang mendakwa berlakunya rombakan kabinet apabila memetik laporan akhbar berbahasa Cina.

Bagaimanapun, Abang Johari tidak memberi jawapan sama ada “ya” atau “tidak” ketika ditanya pemberita selepas ucapan penggulungan sempena Persidangan Dun Ke-18 di sini, hari ini.

Laporan berbahasa Cina itu menyebut berlakunya rombakan kabinet Sarawak selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Kita tunggu masa yang sesuai, baru, saya maklumkan kepada anda (wartawan),” katanya ringkas.

Ketika ditanya mengenai pendirian Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sama ada membenarkan Parti Bersatu Sarawak (PSB) sebagai sebahagian daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Abang Johari yang juga Presiden GPS enggan mengulas lanjut.

Pada Rabu, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Jemut Masing berkata, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) termasuk pihaknya tidak bersetuju untuk PSB sebahagian daripada GPS.

Menurut James Masing, PSB tiada tempat dalam GPS kerana bersikap “keras kepala”.

Malah, beliau menyarankan agar dua pemimpin PSB dilucutkan dalam pentadbiran negeri apabila merujuk kepada Menteri Kewangan yang juga Presiden PSB, Datuk Sri Wong Soon Koh dan Menteri Muda Pengangkutan, Datuk Dr. Jerip Susil.

Bagaimanapun, James Masing menyerahkan segala keputusan kepada Ketua Menteri untuk membuat keputusan.

Beliau yakin yang Abang Johari akan menyelesaikan perkara terbabit sebelum pilihan raya negeri apabila dijadualkan pada tahun 2021.

Dalam pada masa yang sama, Abang Johari memberitahu tiada bonus Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak bagi penjawat awam negeri tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, pemberian bonus dilakukan pada hujung tahun.

“Bonus (bagi penjawat awam negeri) akan diberi hujung tahun,” ujarnya.

Suara Sarawak