KUCHING: Projek Jalan Penghubung Sarawak–Sabah (SSLR) bakal mengubah landskap pembangunan infrastruktur negeri ini apabila terowong jalan raya pertama Sarawak akan dibina di bawah projek mega itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, projek mega itu mencerminkan kemampuan Sarawak dalam membangunkan infrastruktur bertaraf tinggi bukan sahaja memperkukuh jaringan pengangkutan antara negeri, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serantau.
Beliau berkata, fasa pertama SSLR kini berjalan lancar, manakala fasa kedua telah dimulakan melalui majlis pecah tanah yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
“Yang menjadikan projek ini istimewa ialah pembinaan terowong pertama di Sarawak.
Ia satu pencapaian besar dari segi kejuruteraan memandangkan kawasan tersebut mempunyai bentuk muka bumi yang berbukit,” katanya pada sidang media Belanjawan Malaysia MADANI 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Petra Jaya terbabit, terowong berkenaan akan dibina di kawasan Limbang, utara Sarawak bagi mewujudkan laluan lebih pendek, selamat dan mesra alam.
Sebagai contoh katanya, jarak perjalanan sebelum ini sekitar 14 hingga 20 kilometer dipendekkan kepada kira-kira 7 kilometer sahaja dengan pembinaan terowong ini.
“Kaedah ini bukan sahaja menjimatkan masa perjalanan, malah membantu memelihara persekitaran semula jadi,” jelasnya.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata teknologi pembinaan terowong itu menggunakan kepakaran dari China namun perincian teknikal dan lokasi sebenar masih dalam peringkat pelarasan.
Beliau menambah, keseluruhan projek SSLR dianggarkan menelan kos sekitar RM6 bilion direka bentuk sebagai jalan sehala (single-lane road) dan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kualiti serta pematuhan kepada jadual siap yang ditetapkan.
“Pembinaan terowong ini bukan sekadar simbol kemajuan fizikal, tetapi bukti kemampuan Sarawak mengorak langkah ke arah pembangunan infrastruktur moden dan mampan,” katanya lagi.
Projek SSLR Fasa 2 yang dilancarkan pada September lalu meliputi jajaran sejauh 335 kilometer melibatkan Miri, Limbang, Lawas dan Ba Kelalan sebagai kesinambungan kepada SSLR Fasa 1 di Lawas yang dimulakan pada tahun 2021 dan kini mencatat kemajuan 57.6 peratus setakat Julai 2025.


