KUCHING: Sarawak bakal mereka bentuk dan mengeluarkan satelit pertamanya melalui penerokaan kerjasama strategik dengan pihak United Kingdom, sekali gus memperkukuh aspirasi untuk muncul sebagai pemain bernilai tinggi global dalam sektor semikonduktor, aeroangkasa dan teknologi angkasa.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif yang dilaksanakan menerusi SMD Semiconductor itu melibatkan pembangunan cip semikonduktor bertaraf satelit serta sistem berkaitan, di samping pelancaran satelit pertama Sarawak.
Menurutnya, langkah tersebut akan menyokong fokus Sarawak dalam penggunaan satelit, analitik data serta aplikasi hiliran yang memberi impak dunia sebenar khususnya dalam bidang berkaitan iklim seperti perhutanan, pemerhatian bumi, pengurusan bencana, penjejakan karbon dan pemantauan maritim.


“Bagi menyokong usaha ini, kami meneroka pembangunan dan pelancaran satelit Low Earth Orbit (LEO) sendiri bersama rakan antarabangsa termasuk UK bagi memperkukuh keupayaan data serta meningkatkan infrastruktur telekomunikasi, terutama di kawasan luar bandar.
“Teknologi ini turut memperkukuh keupayaan data kritikal serta meningkatkan infrastruktur telekomunikasi termasuk memperluas capaian internet berkelajuan tinggi dengan kependaman rendah ke kawasan pedalaman dan kurang mendapat perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Libat Urus Semikonduktor Sarawak yang dianjurkan bersama oleh SMD Semiconductor dan Universiti Bristol di NCC, Brisbol and Bath Science Park, United Kingdom.
Tambahnya, Sarawak juga memperluas fokus kepada aeroangkasa, teknologi satelit dan sistem berasaskan data sebagai sebahagian agenda teknologi tinggi.
”Keupayaan ini penting memandangkan teknologi masa hadapan bergantung kepada integrasi cip, satelit dan sistem berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) masa nyata.
“Pendekatan Sarawak adalah bersifat praktikal dalam meneroka industri berteknologi tinggi berasaskan inovasi dengan semikonduktor sebagai pemacu utama merentas pelbagai sektor berimpak tinggi,” tambahnya.
Program berprofil tinggi itu menghimpunkan lebih 80 penggubal dasar, penyelidik dan pakar industri dari seluruh United Kingdom, sekali gus memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang semikonduktor, aeroangkasa, teknologi angkasa dan sistem berasaskan data.
Selain itu, pemain industri utama United Kingdom seperti Rolls-Royce, GKN Aerospace, Nexperia, Space West, Centre for Modelling and Simulation serta Sora Aviation turut mengambil bahagian.
Kemuncak program ialah sesi libat urus strategik bertemakan Semikonduktor Pemacu Teknologi Masa Depan yang dipengerusikan bersama oleh Pengarah Akademik dan Ketua Projek Universiti Bristol, Martin Kuball serta Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil.
Sesi dialog berimpak tinggi itu mencerminkan peralihan Sarawak daripada peringkat penglibatan awal kepada pendekatan lebih tersusun dan berfokuskan pelaksanaan dalam ekosistem global semikonduktor dan teknologi maju, dengan penekanan kepada penyampaian, kerjasama strategik dan penciptaan nilai jangka panjang.
Dalam rangka lawatan tersebut, delegasi Sarawak turut mengunjungi fasiliti superkomputer Isambard-AI supercomputer bagi meninjau bagaimana pengkomputeran berprestasi tinggi dan kecerdasan buatan mempercepat penemuan saintifik serta inovasi industri.
Lawatan itu turut memberi pendedahan mengenai potensi pembangunan teknologi sedemikian untuk disesuaikan dan dibangunkan di Sarawak pada masa hadapan.
Delegasi Malaysia dan Sarawak pula diwakili Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Zakri Jaafar serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Turut hadir ialah Datuk Bandar bagi West of England Combined Authority, Helen Godwin; Naib Canselor dan Presiden Universiti Bristol, Evelyn Welch; Pengarah Pejabat Pelaburan, Jabatan Perniagaan dan Perdagangan United Kingdom serta Pegawai kepada Perdana Menteri United Kingdom, John Edwards.


