KUCHING: Sarawak bakal menjadi tuan rumah untuk Forum Ekonomi Hidrogen (H2EF) 2025 yang akan berlangsung pada 13 sehingga 14 Mei tahun ini bertempat di Hilton Kuching.
Forum ini merupakan anjuran Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESty), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Borneo Business Connect dengan sokongan Business Events Sarawak (BESarawak) – bertujuan mendorong fasa seterusnya dalam inovasi, pelaburan dan pembangunan dasar hidrogen.
Menurut kenyataan H2EF, forum ini merupakan susulan utama daripada Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik (APGH) 2026 yang bertujuan untuk memupuk kolaborasi berimpak tinggi dan pelaburan strategik sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) Malaysia dan usaha penyahkarbonan global.
“Forum ini akan menghimpunkan pemimpin industri global, pembuat dasar, pelabur serta delegasi dari lebih lima buah negara termasuklah Australia, Jepun, Korea, Norway dan Singapura,” jelas kenyataan tersebut.
H2EF akan menampilkan ucaptama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang akan mengupas peranan Sarawak dalam menerajui industri hidrogen di Asia Tenggara.
Forum ini turut menampilkan sesi-sesi utama seperti Dialog Negara Norway (Inovasi Hidrogen Norway dan Masa Depan Tenaga Global) dan Bengkel Ekslusif Siemens (Sistem Pengurusan Tenaga).
Orang ramai yang berminat untuk menyertai forum ini boleh mendaftar melalui laman rasmi hydrogenapac.com/h2ef atau hubungi Puan Teh di talian +60 82 555 189 atau emel ke secretariat@borneobizconnect.com.


