KUCHING: Bukan sekadar bantuan kewangan, Kerajaan Sarawak turut memberi perhatian dengan masa depan keluarga mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (PDU), termasuk membantu Stephanie Essah Incham untuk mendapatkan tawaran pekerjaan di Universiti Curtin.
Stephanie merupakan isteri kepada mendiang Alexson Adit Henry – seorang daripada lima petugas yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram, pada 8 September lalu.

Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Stephanie merupakan graduan profesional yang mempunyai kelayakan untuk bekerja di universiti berkenaan.
“Beliau merupakan seorang graduan yang profesional dan saya bantu agar beliau ditawarkan bekerja di Universiti Curtin,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Sarawak kepada Waris Mangsa Nahas Helikopter PDU di DUN Sarawak, hari ini.
Selain membantu Stephanie mendapatkan peluang pekerjaan, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak turut memberi perhatian dengan pendidikan anak-anak mangsa bagi memastikan masa depan mereka terus terbela.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan menawarkan tajaan pendidikan menerusi Yayasan Sarawak kepada anak-anak mangsa, bermula dari Tahun Satu hingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).
Menurut Abang Johari, kerajaan menyedari bahawa kehilangan insan tersayang tidak mungkin dapat diganti dengan sebarang bentuk bantuan, namun sokongan yang diberikan diharap dapat meringankan beban keluarga mangsa.
Pada majlis itu, Kerajaan Sarawak turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada setiap satu daripada lima keluarga mangsa nahas berkenaan, menjadikan jumlah keseluruhan RM500,000.
Dalam perkembangan berkaitan, kelima-lima mangsa turut disenaraikan sebagai penerima Pingat Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S.) secara anumerta sempena sambutan Hari Jadi Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pada 10 Oktober lalu.


