KUCHING: Sarawak berhasrat membangunkan model kecerdasan buatan (AI) sendiri yang dinamakan DeepSar bagi memaparkan kandungan unik tentang negeri ini dan sebagai platform interaksi global.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, impian tersebut adalah inspirasi daripada kejayaan seorang jurutera muda dari China, Liang Wenfeng, pencipta model AI dipanggil DeepSeek yang mampu menyaingi model AI yang dibangunkan oleh Amerika Syarikat.

“Saya berharap suatu hari nanti kita dapat memiliki DeepSar, iaitu DeepSarawak, yang diasaskan oleh anak-anak jati kita sendiri.
“Ia akan menampilkan kandungan unik tentang negeri kita dan menjadi satu lagi platform perbualan digital antara rakyat Sarawak dengan dunia.
“Mungkin ia sekadar impian buat masa ini, tetapi tidak mustahil bakal menjadi kenyataan suatu hari nanti. Mungkin bukan dalam era saya, tetapi menjelang tahun 2030, 2035 atau 2040,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina 2025 anjuran Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, ujarnya, impian tersebut selaras dengan pelbagai pendekatan yang sedang giat dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk melahirkan lebih ramai bakat dalam bidang teknologi, khususnya AI.
“Apa yang penting terlebih dahulu ialah kita mampu melahirkan bakat-bakat dalam bidang ini dan memastikan setiap kawasan di Sarawak mempunyai sambungan digital yang stabil,” jelasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan penyatuan data berasaskan AI dalam memperkasa ekonomi Sarawak sejajar dengan perkembangan teknologi global.
“Sebagai contoh, jika anda mengakses DeepSeek dan meminta maklumat tentang Sarawak, AI akan memberikan huraian yang terperinci mengenai negeri ini.
“Ini bermakna mereka telah mengkategorikan pelbagai sektor yang terdapat di negeri kita.
“Melalui analisis ini, kita dapat mengenal pasti potensi yang ada, serta langkah strategik dapat diambil berdasarkan sumber-sumber yang dimiliki,” ujarnya.
Tambahnya, penggunaan teknologi AI bukan sahaja relevan dalam sektor ekonomi tetapi juga berperanan besar dalam pembuatan keputusan dan pelbagai proses lain bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran serta pembangunan negeri.
DeepSeek merupakan model AI yang lebih berfungsi sebagai chatbot, diasaskan oleh sebuah syarikat AI di Hangzhou, Zhejiang, China pada 17 Julai 2023.
DeepSeek telah melancarkan beberapa model AI yang berbeza, termasuk DeepSeek-Coder pada 2 November 2023, dan siri model DeepSeek-LLM pada 29 November 2023.
Pada Januari 2025, mereka melancarkan aplikasi chatbot percuma pertama berdasarkan model DeepSeek-R1, untuk iOS dan Android.
Aplikasi ini dengan cepat menjadi aplikasi percuma yang paling banyak dimuat turun di App Store di Amerika Syarikat, mengatasi ChatGPT.
DeepSeek menumpukan kepada penyelidikan dan mengutamakan kebolehan teknikal dalam pengambilan pekerja, dengan kebanyakan pengambilan graduan universiti atau pembangun dengan kerjaya AI yang masih baharu.
Dengan pendekatan inovatif dan pencapaian yang signifikan, DeepSeek telah menjadi pemain utama dalam industri AI, menyaingi syarikat besar seperti OpenAI dan Google.

